SERDANG – Umat Islam perlu melakukan muhasabah dan memperkukuh sahsiah bagi memastikan Islam terus dipersembahkan melalui akhlak serta teladan yang baik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, cara umat Islam membawa dan menyampaikan mesej agama ketika ini perlu diberi perhatian supaya tidak menimbulkan kebimbangan atau salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Ada masalah sekarang, bukan sekadar orang tidak mahu mudah menerima Islam, tetapi kadangkala orang merasa lebih cemas dengan nada Islam itu sendiri. Masalahnya bukan pada orang lain, masalahnya pada kita.
“Cabaran bagi umat sekarang ialah bagaimana boleh ini (Islam) dijadikan sebagai contoh yang mampu diteladani oleh umat dan oleh manusia keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Anwar berkata, kelemahan dalam menunjukkan akhlak dan contoh teladan yang baik boleh menyebabkan masyarakat sukar menerima Islam, malah membuka ruang kepada persepsi yang kurang tepat terhadap agama berkenaan.
Menurutnya, pengaruh penjajahan turut meninggalkan kesan terhadap pemikiran umat Islam sehingga sebahagian masyarakat lebih mengagumi budaya asing berbanding warisan dan nilai ketamadunan Islam.
Beliau berkata, perkara itu pernah dihuraikan sarjana Sheikh Muhammad al-Ghazali menerusi istilah ‘Isti’mar ruhi wa fikri’ (penjajahan jiwa dan pemikiran), yang merujuk kepada kesan penaklukan terhadap sistem pemikiran dan jiwa masyarakat.
“Keadaan Alhamdulillah dalam proses pengIslaman ini sedang berubah dan kesedaran meningkat.
“Namun, mereka yang memegang amanah sama ada pentadbir, profesor, mahasiswa mahupun menteri, mesti ada kesediaan untuk membawa perubahan dan mesej yang jelas melalui tadbir urus dan pimpinan yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sambutan Maulidur Rasul tidak seharusnya sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai ruang untuk memperbaharui tekad dan semangat umat Islam.
Katanya, perjalanan kehidupan Rasulullah SAW mengandungi pelbagai teladan yang wajar diterjemahkan dalam kehidupan seharian, sejajar dengan sifat Islam yang dinamik.Beliau turut menyuarakan harapan supaya umat Islam dapat bangkit sebagai ‘Muslimun Haqiqun’ (Muslim yang sebenar) dan menjadi sumber pencerahan kepada masyarakat di seluruh dunia.
Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan salam serta penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada rakyat Malaysia yang menjayakan sambutan, terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menurutnya, Seri Paduka Baginda yang kini berada di luar negara atas urusan kesihatan sentiasa mendoakan Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan berdaulat serta mampu meningkatkan martabat rakyat sehingga menjadi contoh kepada dunia.




