SHAH ALAM – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan Dr Solehah Yaacob tidak lagi mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan institusi itu selepas perkhidmatannya sebagai kakitangan akademik ditamatkan pada 27 April lalu.
Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UIAM berkata, susulan keputusan berkenaan, Solehah tidak lagi memegang jawatan profesor atau mewakili UIAM dalam apa-apa kapasiti.
Universiti itu turut menegaskan bahawa Solehah tidak dibenarkan menggunakan sebarang gelaran, jawatan atau bentuk hubungan rasmi yang mengaitkannya dengan UIAM.
“Ia juga merangkumi kandungan media sosial, bahan publisiti atau bahan hebahan lain, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” kata kenyataan itu pada Ahad.
Solehah sebelum ini menjadi perhatian susulan beberapa pandangan yang dikaitkan dengan sejarah dan tamadun Melayu.
Antaranya, beliau mendakwa masyarakat Rom purba mempelajari teknologi pembinaan kapal daripada masyarakat Alam Melayu.
Dalam perkembangan terbaharu, beliau turut membentangkan teori bahawa kekayaan bijih besi di Kedah purba berkemungkinan berpunca daripada hujan meteor yang berlaku pada zaman silam.
Sehubungan itu, UIAM berkata, penjelasan berhubung status Solehah perlu dibuat bagi memastikan masyarakat tidak lagi keliru mengenai kedudukannya dengan universiti berkenaan.
“UIAM berharap dengan penjelasan mengenai status perkhidmatan dan kaitan rasmi Solehah dengan universiti ini dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai,” katanya.





