
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melancarkan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian pada 9 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia 2026, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif julung kali dilaksanakan secara dalam talian itu akan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk kementerian berkaitan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat di seluruh negara.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi yang baik perlu disusuli dengan usaha menangani isu berkaitan kehidupan rakyat, termasuk meningkatkan mutu pendidikan, kesihatan, prasarana asas dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.
“Justeru, saya berharap inisiatif ini dapat dipromosikan secara meluas supaya lebih ramai rakyat mengetahui dan memanfaatkan tawaran yang disediakan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika mengumumkan pelaksanaan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 sempena sambutan Hari Malaysia 2026 hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Program Jualan Rahmah yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga biasa.
Pelaksanaan secara dalam talian itu dijangka memperluas capaian program berkenaan, selain memanfaatkan perkembangan ekonomi digital bagi memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.


