
KOTA KINABALU – Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hubungan kerjasama itu penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini terus terjamin.
Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan atas segala khidmat bakti dan sumbangan Pesuruhjaya Polis Sapab, Datuk Jauteh Dikun sepanjang berkhidmat dalam PDRM.
“Saya menghargai peranan Jauteh dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah sepanjang tempoh perkhidmatannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat perpisahan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, di Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu
Sementara itu, Jauteh merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji atas sokongan dalam memperkukuh prasarana dan logistik PDRM Kontinjen Sabah.
“Bantuan Kerajaan Negeri termasuk penyediaan tapak tanah membolehkan pembinaan dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu di Kalabakan dan Nabawan dimulakan, selain bantuan khas bagi menaik taraf 20 pondok polis di seluruh Sabah,” ujarnya.
Sebagai rekod, Jauteh akan bersara wajib pada 11 November ini selepas berkhidmat lebih 32 tahun dalam PDRM.



