
SARATOK – Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan polis selepas disyaki mengamuk, memecahkan cermin hiasan serta membaling sebatang besi ke arah bapanya di kediaman mereka di Kampung Nyabor, Kabong pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku selepas suspek ditegur oleh bapanya yang berusia 70 tahun supaya mengambil borang nikah.
Menurutnya, teguran itu dibuat kerana warga emas berkenaan tidak bersetuju tindakan suspek membawa teman wanita bermalam di rumah tersebut tanpa ikatan perkahwinan yang sah.
Susulan teguran berkenaan, suspek dipercayai menumbuk cermin hiasan di ruang tamu sehingga pecah sebelum membaling sebatang besi ke arah bapanya.
“Bagaimanapun, mangsa sempat mengelak daripada terkena besi berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji menahan suspek di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Gerigat, Kabong pada Khamis.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Polis turut merampas sebatang besi spike yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya.
Mathew berkata, siasatan awal mendapati kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku, namun pengadu sebelum ini tidak berani membuat laporan polis kerana suspek sering bertindak agresif dan dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Suspek yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.



