
AYER KEROH – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya pencapaian ekonomi negara tidak menyebabkan kerajaan dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) leka, sebaliknya agenda reformasi perlu terus diperkukuh bagi memastikan perubahan yang dilaksanakan benar-benar dirasai rakyat.
Presiden PKR itu berkata, meskipun Malaysia menunjukkan perkembangan positif dari segi ekonomi dan pembangunan negara, masih banyak perkara yang perlu diselesaikan, khususnya isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Beliau berkata, pencapaian ekonomi tidak boleh hanya dinilai berdasarkan angka, sebaliknya perlu dilihat bersama realiti yang dihadapi rakyat termasuk tekanan kos sara hidup.
“Jangan ingat angka yang mengkhayalkan. Kita lihat, tetapi kita harus menghayati angka sebenarnya di bawah.
“Ekonomi baik, semua menggambarkan ekonomi menakjubkan, tetapi ada hal-hal yang belum diselesaikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau sendiri berusaha mendapatkan gambaran sebenar keadaan rakyat dengan turun padang dan berinteraksi secara langsung, termasuk bertanya mengenai harga barangan serta kos sara hidup.
“Sebab itu, sebagai Perdana Menteri, saya masih cuba menjaga bumi yang… tiap-tiap hari Jumaat sebelum solat Jumaat, saya tidak di hotel lima bintang untuk makan. Saya ke gerai biasa.
“Dan tiap kali saya tanya, berapa harga bawang, berapa harga sayur, berapa kos sara hidup, hampir semua mengatakan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu terus mengambil tindakan bagi menangani perkara yang masih menjadi keluhan rakyat, walaupun beberapa petunjuk ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif.
Anwar turut mengakui masih terdapat agenda reformasi yang belum diselesaikan, termasuk beberapa perkara yang sudah tertangguh sekian lama.
Katanya, usaha meneruskan pembaharuan memerlukan keberanian serta sokongan daripada anggota parti bagi memastikan perubahan tidak sekadar menjadi bahan kritikan atau perbahasan.
“Kalau tidak ada semangat, dorongan daripada barisan ahli-ahli yang berani dan kebenaran, gerakan kita… yang kita lihat dan dengar hanya kritik.
“Tetapi kita harus terus bekerja untuk memperbaiki apa yang masih perlu diperbaiki,” katanya.
Anwar berkata, keberanian untuk meneruskan agenda Reformasi MADANI perlu diperkukuh, termasuk melalui reformasi birokrasi dan usaha pembasmian rasuah.
“Kita mesti menaikkan keberanian Reformasi MADANI. Kita tahu perkara yang patut dilakukan tetapi tidak dilakukan.
“Jadi kalau kita menegur, mendesak dan memastikan tindakan itu dilakukan…” katanya.
Beliau berkata, anggota PKR perlu membantu memastikan agenda perubahan yang diperjuangkan kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan, bukan sekadar menyuarakan kritikan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, perkembangan ekonomi negara perlu diteruskan bagi memastikan Malaysia mampu meningkatkan prestasi serta daya saingnya.
Namun, katanya, pencapaian itu tidak bermakna semua masalah telah selesai kerana masih terdapat perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan perlu terus memperbaiki kelemahan sedia ada dan memastikan hasil pembangunan serta pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
“Masih banyak yang belum. Saya hanya sebut di sini sebahagian daripada apa yang kita lakukan dan harus diteruskan supaya kita dapat capai prestasi yang membanggakan,” katanya.
Anwar berkata, keberhasilan agenda reformasi akhirnya perlu diukur berdasarkan sejauh mana perubahan berkenaan mampu memperbaiki kehidupan rakyat, selain memastikan negara terus bergerak maju.





