
AYER KEROH – PKR perlu kembali menghayati semangat reformasi dan prinsip Deklarasi Permatang Pauh 1998 untuk mencari akar kepada idealisme perjuangan dalam membina kembali kekuatan untuk bangkit selain dapat memastikan parti itu kekal relevan dalam landskap politik negara.
Ketua PKR Cabang Shah Alam, Mohd Najwan Halimi berkata, ucapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya generasi muda Keadilan menghayati semangat Deklarasi Permatang Pauh adalah tepat pada masanya ketika parti berdepan pelbagai cabaran.
Menurut beliau, anggota baharu dan generasi muda PKR perlu memahami bahawa perjuangan parti tidak bermula selepas menjadi kerajaan, sebaliknya melalui sejarah panjang serta pelbagai cabaran getir.
“Saranan dan peringatan yang tepat dan kena pada masanya, ketika ini di mana parti sedang dalam situasi yang amat sukar berdepan dengan beberapa cabaran mutakhir ini. Dan pesanan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden bagi saya sesuatu yang wajar kita renungi semulalah, terutamanya kepada anggota-anggota baru parti, anak-anak muda khususnya.
“Mereka yang menyertai parti ini perlu sedar bahawa semangat Keadilan itu bukan bermula sejak menjadi kerajaan, tetapi bermula dengan sejarah panjang menerusi cabaran yang getir dan juga Deklarasi Permatang Pauh itu sebagai satu bimbingan ataupun panduan kepada anggota parti khususnya anggota parti yang baru, generasi muda. Supaya mereka ini kekal berpegang kepada idealisme dan prinsip parti,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, PKR mempunyai pengalaman panjang kalah dalam medan pilihan raya, namun semangat juang tinggi pimpinan dan ahli, kemenangan itu dapat dikecapi semula.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor memaklumkan, parti perlu kekal sebagai parti perubahan dan reformasi, selain tidak mudah goyah hanya kerana berdepan cabaran politik semasa.
“Kita pernah berada dalam situasi di mana kita kalah pilihan raya, tinggal satu kerusi di Parlimen, kemudian kita bangkit semula, dan kemudian pernah rebah semula ketika Sheraton Move, dan kemudian kita bangkit semula.
“Jadi ini adalah asam garam dalam perjuangan membawa perubahan di negara ini. Kita tidak perlu rasa gundah-gulana dengan apa yang berlaku, tetapi sebaliknya kita kembali merenung Deklarasi Permatang Pauh dan menyemarakkan semula semangat reformasi itu di kalangan anggota-anggota muda dan pimpinan muda.
“Seterusnya memperbaiki dan menggerakkan semula jentera-jentera dan anggota parti supaya kita dapat kembali menjadi parti menerajui perubahan di Malaysia. Kita kena berdepan realiti, memang benar Anwar sudah menjadi Perdana Menteri namun itu bukan matlamat akhir PKR, apa kita mahukan adalah melakukan perubahan dan pembaikan kepada negara ini,” katanya.
Mohd Najwan berpandangan, PKR tidak seharusnya membiarkan parti itu dilihat sebagai ‘the sick man in Malaysian politics’ atau parti yang lemah dalam politik negara, sebaliknya perlu segera melakukan pembaharuan dan memperbaiki kelemahan dalaman.
“Ini masa merenung semula, ucapan Presiden tadi saya lihat harapan cukup besar diletakkan kepada pimpinan-pimpinan generasi baru untuk mereka membawa parti ini, menakhodai parti ini ke peringkat ataupun ke tahap yang lebih baik. Parti sedang berdepan dengan cabaran, sedang mengalami masalah, dan kita perlu bergerak dengan lebih pantas untuk buat perubahan, untuk memperbetulkan parti ini.
“Kurangkan persengketaan, perebutan, mahupun kedudukan sehingga berlakunya keretakan. Jadi, Jadi ini masa untuk kita rapatkan saf kepimpinan kita dan teruskan perjuangan untuk kita menjadikan Keadilan ini terus relevan di dalam lanskap politik negara,” katanya.






