Integriti Sarawak dipacu ketegasan pantau projek awam dan penyampaian berkesan

KUCHING – Tegas dalam melaksanakan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), kerajaan Sarawak mengingatkan bahawa sebarang kelewatan tidak munasabah, pembaziran serta mutu kerja projek yang rendah disifatkan sebagai satu isu integriti yang serius.  

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kejayaan sesebuah projek awam bukan hanya diukur semata-mata selepas ia siap dibina, sebaliknya ia perlu selamat digunakan dan menepati prinsip nilai untuk wang.  

Menurut beliau, setiap perancangan pembangunan menuntut semua kementerian, jabatan dan agensi untuk memastikan proses perolehan dilaksanakan secara telus dan kompetitif mengikut keperluan sebenar rakyat.  

“Dasar yang baik tidak akan memberi makna sekiranya pelaksanaannya lemah, lewat, membazir atau disalahgunakan.  

“Kelewatan yang tidak munasabah, pembaziran, mutu kerja rendah atau kecuaian dalam pemantauan ialah isu integriti kerana kesannya ditanggung oleh rakyat pada akhirnya,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana sempena Majlis Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 bertemakan ‘Integriti Teras Kemakmuran Sarawak’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.

Mengulas mengenai ketelusan penyampaian perkhidmatan awam, beliau menyifatkan penubuhan Ombudsman Sarawak sebagai langkah progresif dalam memastikan keluh kesah rakyat terus didengar melalui saluran yang teratur dan bebas.  

Jelasnya, peranan utama Ombudsman bukan sekadar menerima aduan, malah bertindak membantu mengenal pasti kelemahan sistem serta memperkukuh fungsi akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan.  

Dalam mendepani era transformasi digital menerusi pelaksanaan inisiatif seperti Sarawak Pass, S PAY GLOBAL dan pembangunan Pusat Sains Sarawak, beliau mengingatkan agar kemajuan tersebut terus dipandu oleh integriti merangkumi aspek keselamatan data serta perlindungan privasi.  

“Kita perlu melihat maklum balas dan teguran rakyat sebagai peluang untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan.  

“Pentadbiran yang berintegriti bukanlah pentadbiran yang tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi pentadbiran yang bersedia menerima teguran, bertindak telus dan melakukan penambahbaikan berterusan,” tegasnya.  

Bagi memastikan budaya murni tersebut terus mekar, beliau turut menggesa setiap ketua jabatan memberikan sokongan penuh kepada barisan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang bertindak sebagai pemudah cara pengurusan risiko di dalam organisasi masing-masing.  

Sementara itu, menyentuh mengenai ekosistem pembudayaan bermula dari peringkat akar umbi, beliau menyokong penuh inisiatif Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang mewujudkan Kelab Rakan Integriti Sekolah (KRIS).  

Tambahnya, pemerkasaan pemimpin di peringkat komuniti turut diteruskan melalui pelaksanaan Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) demi memastikan nilai ketelusan sentiasa diterapkan dalam pengurusan ketua masyarakat dan ketua kaum di wilayah ini. 

  • Related Posts

    Asap dari Kalimantan Barat punca jerebu, tangguh aktiviti luar bilik darjah

    KUCHING – Keadaan cuaca di Sarawak merekodkan penurunan kualiti udara berikutan masalah jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada tiupan angin membawa asap dari Kalimantan Barat. Situasi tersebut menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Integriti nadi kemakmuran, KSN puji komitmen berterusan Sarawak

    KUCHING – Pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) bagi penjawat awam bermula 1 Ogos lalu bukanlah satu tiket percuma untuk meluaskan percutian hujung minggu, sebaliknya ia menuntut tahap integriti dan…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Asap dari Kalimantan Barat punca jerebu, tangguh aktiviti luar bilik darjah

    Asap dari Kalimantan Barat punca jerebu, tangguh aktiviti luar bilik darjah

    Etika berpolitik: Dari politik ketakutan kepada politik penyelesaian

    Etika berpolitik: Dari politik ketakutan kepada politik penyelesaian

    Integriti Sarawak dipacu ketegasan pantau projek awam dan penyampaian berkesan

    Integriti Sarawak dipacu ketegasan pantau projek awam dan penyampaian berkesan

    Anwar dijangka dibenarkan keluar hospital hari ini

    Anwar dijangka dibenarkan keluar hospital hari ini

    Integriti nadi kemakmuran, KSN puji komitmen berterusan Sarawak

    Integriti nadi kemakmuran, KSN puji komitmen berterusan Sarawak

    Strategi pelaburan berdisiplin perkasa kredibiliti, kedudukan TH

    Strategi pelaburan berdisiplin perkasa kredibiliti, kedudukan TH