
MARCUS Rashford menerima nombor jersi baharu selepas kembali menyertai Manchester United, perkembangan yang mungkin memberi petunjuk tentang masa depannya bersama kelab itu.
Rashford sebelum ini dijangka sudah mengharungi perlawanan terakhirnya bersama United selepas disisihkan dari kelab zaman kanak-kanaknya oleh Ruben Amorim pada Disember 2024.
Selepas dipinjamkan ke Aston Villa dan Barcelona, penyerang England itu dijangka menyertai gergasi Sepanyol berkenaan secara kekal.
Bagaimanapun, Barcelona memilih untuk tidak mengaktifkan klausa pembelian 26 juta pound (RM143 juta).
Situasi itu menyebabkan Rashford, 29, berada dalam keadaan tidak menentu, dengan hanya beberapa kelab menunjukkan minat terhadapnya, manakala United dilaporkan keberatan memberinya peluang kedua.
Selepas beraksi pada Piala Dunia, Rashford akhirnya kembali menjalani latihan pada Ahad, sekali gus menyertai semula skuad The Red Devils buat kali pertama dalam tempoh lebih 18 bulan.
Dia kelihatan ceria ketika mengambil gambar bersama penyokong dan melayan permintaan untuk menandatangani autograf.
Pengendali United, Michael Carrick mengesahkan Rashford akan berada dalam skuad bagi dua perlawanan persahabatan terakhir pra-musim.
“Kami akan mempunyai skuad lengkap minggu depan di Dublin.
“Kami terus terbang ke sana dan bertemu Leeds pada Rabu. Kami mempunyai beberapa hari di Dublin dengan keseluruhan skuad, termasuk Marcus, Kobbie [Mainoo] dan Lisandro [Martinez].
“Saya pernah bermain bersamanya. Saya beraksi dalam perlawanan ketika dia melakukan penampilan sulung, jadi kami mempunyai sejarah,” kata Carrick.
Walaupun perkara itu belum mengesahkan Rashford akan kekal sebagai pemain United musim ini, kelab berkenaan memberi petunjuk bahawa dia mungkin berada dalam perancangan selepas memberinya nombor jersi baharu.
Penyerang itu tidak dapat kembali memakai jersi nombor 10 kesayangannya selepas nombor berkenaan diberikan kepada Matheus Cunha sebaik tiba dari Wolves musim panas lalu.
Malah, nombor 19 dan 39 yang pernah dipakai Rashford kini sudah menjadi milik pemain baharu, Bryan Mbeumo dan Tyler Fletcher.
Bagaimanapun, menurut Fabrizio Romano, Rashford kini akan memakai jersi nombor 14, nombor yang digunakannya ketika di Barcelona dan lazimnya diberikan kepada pemain penting skuad utama.
Di United, jersi nombor 14 sebelum ini pernah dipakai Christian Eriksen, Jesse Lingard dan Javier Hernandez.









