
KUCHING – Kontinjen Para SUKMA Sarawak bertekad mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada temasya Para SUKMA ke-22 di Selangor, biarpun bakal berdepan cabaran sengit berikutan perubahan had umur atlet.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sasaran itu melibatkan 338 acara daripada 10 jenis sukan yang bakal dipertandingkan.
Menurutnya, Sarawak melangkah ke Selangor berbekalkan rekod cemerlang selepas berjaya merampas kejuaraan kali ke-14 di laman sendiri pada 2024 menerusi pungutan 82 pingat emas, 53 perak, dan 74 gangsa.
“Kita berangkat ke Selangor membawa mandat dan harapan seluruh rakyat Sarawak. Kita ke sana bukan untuk menyerahkan mahkota kejuaraan, tetapi untuk mempertahankannya.
“Bendera yang diserahkan ini melambangkan maruah negeri, amanah rakyat, serta harapan seluruh bumi Kenyalang yang menjadi pemangkin semangat kontinjen di medan perjuangan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke SUKMA dan Para SUKMA yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai persediaan pasukan, Fatimah menegaskan pelbagai inisiatif berstruktur telah digerakkan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan tertinggi barisan atlet.
“Ini merangkumi latihan berpusat, kejohanan pendedahan, sokongan sains sukan, dan pemantauan prestasi yang menyeluruh.
Tambahnya, kemuncak persiapan kontinjen telah dilengkapkan menerusi Kem Motivasi Kontinjen Para Sarawak pada 4 Ogos lalu yang dilihat berjaya memperkukuh tahap disiplin serta nilai kebersamaan sebagai satu keluarga besar.
Kontinjen Para SUKMA Sarawak dengan kekuatan seramai 383 atlet dan pegawai dijadualkan berlepas ke Selangor pada 1 September ini.
Temasya sukan berprestij itu akan berlangsung dari 5 hingga 10 September 2026.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Ketua Kontinjen (CDM) Para SUKMA, Dato Mohammad Razi Sitam; dan CDM SUKMA, Datuk Gerald Rentap Jabu.





