PUTRAJAYA – Penggunaan kontrak Wadiah Yad Dhamanah oleh Tabung Haji pada 2016 sehingga 2019 merupakan konsep zakat perniagaan secara khultah terhadap keseluruhan dana pendeposit yang dihimpunkan dan diuruskan oleh institusi kewangan Islam berkenaan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, kaedah itu merujuk kepada penghimpunan harta beberapa pemilik yang diuruskan secara bersama sehingga pengiraan zakat dibuat ke atas keseluruhan harta tersebut mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak.
Dalam konteks Tabung Haji, beliau memaklumkan, dana yang dihimpunkan daripada para pendeposit dilaburkan secara kolektif serta zakat dikira dan dilunaskan ke atas keseluruhan dana tersebut bagi pihak pemilik-pemiliknya.
“Pelaksanaan ini selaras dengan keputusan Muzakarah MKI tahun 1979 yang meletakkan tanggungjawab kepada Tabung Haji untuk melunaskan zakat bagi pihak pendeposit sebelum keuntungan diagihkan kepada mereka.
“Kenyataan media Tabung Haji turut menjelaskan bahawa kaedah pelaksanaan zakat telah melalui beberapa perkembangan selaras dengan perubahan kontrak Syariah yang digunapakai dalam pengurusan dana pendeposit,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin..
Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz berkata, penerapan konsep Wakalah pada 2019 disifatkan memperkasa dan menyelaraskan aspek operasi TH serta keperluan syariah termasuk pembayaran zakat dengan lebih jelas.
Katanya, meskipun berlaku perubahan konsep Syariah, prinsip asasnya tetap tidak berubah susulan Tabung Haji melaksanakan pembayaran zakat bagi pihak pendeposit dan bukannya bagi pihak institusi Tabung Haji sendiri.

“Bagi mengelakkan sebarang keraguan terhadap pelaksanaan terdahulu, Jawatankuasa Penasihat Syariah Tabung Haji dalam mesyuaratnya pada 2 September 2020 telah memutuskan bahawa pembayaran zakat dilaksanakan bagi pihak pendeposit sebelum pengenalan konsep wakalah pada tahun 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.
“Keputusan ini memperkukuhkan bahawa perubahan konsep Syariah kepada wakalah tidak menjejaskan keabsahan pembayaran zakat yang telah dilaksanakan sebelum ini, sebaliknya menunjukkan kesinambungan pelaksanaan zakat yang sentiasa dipandu oleh prinsip syariah dan dipantau oleh badan penasihat syariah yang berkelayakan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan kaedah itu bagi pendeposit mempunyai asas yanl kukuh menurut hukum syarak, di mana keharusan mewakilkan pembayaran zakat diiktiraf para fuqaha dan pelaksanaannya oleh Tabung Haji.
“Ia selaras keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada tahun 1979 serta diperkukuhkan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah Tabung Haji,” katanya.
Sehubungan dengan itu, zakat yang dilunaskan oleh Tabung Haji merupakan pelunasan kewajipan zakat pendeposit yang tidak lagi lagi dituntut mengeluarkan zakat ke atas simpanan yang sama kerana kewajipan tersebut telah disempurnakan melalui wakil yang diberi kuasa menurut syarak. .
“Justeru, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji berhubung status pelunasan zakat simpanan pendeposit adalah selaras dengan prinsip fiqh zakat, keputusan pihak berautoriti serta tadbir urus syariah yang diamalkan oleh Tabung Haji.
“Penjelasan terbabit diharapkan dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai status zakat simpanan pendeposit di Tabung Haji,” katanya.
Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menuntut penjelasan pengurusan Tabung Haji berhubung isu pembayaran zakat selepas mendapati wujud percanggahan ketara antara pendirian institusi itu dengan penemuan RCI
Katamnya, antara isu yang belum diperjelas termasuk penekanan RCI mengenai perubahan akad yang tidak dimaklumkan kepada pendeposit bagi mendapatkan persetujuan supaya sebahagian keuntungan pelaburan digunakan untuk subsidi
Menurut Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, kesan perubahan akad dari Mudarabah kepada Wadi’ah Yad Dhamanah telah mengubah status hubungan TH dengan pendeposit




