
KUALA LUMPUR – Prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dijadual berlangsung di Mahkamah Sesyen hari ini ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
Hakim Suzana Hussin menetapkan prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan baharu pada 27 Ogos.
Menurut hakim, penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan kesihatan Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu yang kini menerima rawatan di IJN, selain permohonan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.
“Memandangkan tertuduh kini berada di IJN atas faktor kesihatan, serta mengambil kira permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ditangguhkan selama tiga minggu,” katanya.
Ismail Sabri sepatutnya didakwa di hadapan Hakim Suzana pada jam 10 pagi hari ini.
Sebelum ini, pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pelucuthakan wang tunai bernilai kira-kira RM169 juta yang dikaitkan dengan Ismail Sabri kepada Kerajaan Malaysia selepas tiada pihak ketiga tampil mencabar permohonan pendakwaan.
Pelucuthakan itu membabitkan wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa termasuk ringgit Malaysia, dolar Singapura, dolar Amerika Syarikat, franc Switzerland, euro, yen Jepun, pound sterling, dolar New Zealand, dirham Emiriah Arab Bersatu dan dolar Australia.
Pada 8 September 2025, mahkamah turut dimaklumkan bahawa Ismail Sabri bersama bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, tidak berhasrat mencabar permohonan pelucuthakan wang tunai yang disita SPRM.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM pada Mac 2025 pernah mempamerkan wang tunai dianggarkan bernilai hampir RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta yang dirampas dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan beberapa premis termasuk sebuah ‘safehouse’.





