
HARRY Kane meraikan penampilan ke-126 bersama England dengan penuh bergaya apabila menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Croatia di Wembley, sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir Liga Negara-Negara.
Kemenangan itu memastikan England kekal di tangga kedua Kumpulan A3 di belakang Sepanyol dan mara ke kelompok lapan terbaik yang dijadual berlangsung Mac tahun depan.
Morgan Rogers membuka tirai jaringan pada minit ke-24 hasil gerakan Kane dan hantaran Jude Bellingham, sebelum Croatia menyamakan kedudukan menerusi Petar Sucic pada minit ke-59 selepas kesilapan Jarell Quansah.
Quansah kemudian dijatuhkan dalam kotak penalti dan pengadil Morten Krogh mengubah keputusan kepada penalti selepas semakan VAR. Kane menyempurnakan sepakan itu untuk gol ke-92 bersama England.
Aksi tersebut turut menyaksikan Kane, 33, mengatasi rekod 125 penampilan bekas penjaga gol Peter Shilton untuk menjadi pemain paling banyak beraksi bersama England.
England seterusnya berdepan Sepanyol di Madrid, awal pagi Isnin ini.

