JELEBU – Ibarat penumpang di tanah sendiri, itu yang dirasakan hampir 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Semelai di Sungai Lui dan Sungai Sot, apabila perkampungan mereka semakin terhimpit susulan pembukaan tanah dan kebun sayur.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Lui, Ibrahim PU, 68, berkata, perkampungan yang dihuni sejak turun-temurun itu sering terdedah dengan kegiatan pembukaan tanah untuk pertanian sehingga menjejaskan kehidupan selain penempatan mereka semakin mengecil.
Menurut beliau, pihaknya ada menghantar permohonan mengazetkan sempadan tanah Orang Asli kepada penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali pada 10 Jun 2022, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima setelah hampir empat tahun permohonan dikemukakan.
“Saya buat satu permohonan, dah hantar sejak 2022 tapi tak dengar khabar berita pun. Sampai sekarang dah empat tahun. Ini musim pilihanraya tiada rasa bersalah berkempen macam biasa.
“Sudah banyak kali saya maklum kepada wakil rakyat Sungai Lui. Kami di sini jangankan nak tanam getah, nak tanam sawit, nak buat rumah pun tak dapat lagi. Generasi makin bertambah tapi mereka tiada penempatan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, penduduk Orang Asli tidak mendapat sebarang notis awal berkenaan pembukaan tanah di kawasan mereka, malah hanya mengetahui projek diluluskan dan akan dilaksanakan di kampung itu sehingga mereka tidak boleh membuat bantahan.
“Kami sekarang ini nak menebas atau menebang dah ada gangguan daripada luar, kalau diusik menjadi kesalahan. Kita guna sekangkang kera dah kena tapi orang luar ambil tanah kami beratus-ratus ekar tidak nampak,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan penduduk bergantung kepada hasil kebun sebagai sumber pendapatan, manakala mereka tidak mempunyai kebun bekerja di luar kampung sebagai pekerja ladang kelapa sawit, hotel mahupun pemandu lori.
Beliau yang juga Tok Batin Sungai Sot berkata, masyarakat Orang Asli tidak meminta kawasan tanah yang luas, sebaliknya hanya berharap kerajaan dapat menambah keluasan tanah bagi membolehkan generasi muda dapat memiliki rumah dan mengusahakan tanaman sebagai sumber pendapatan.
“Saya berharap agar wakil rakyat yang diberi mandat di DUN Sungai Lui nanti dapat mendengar isi hati luahan kami. Masalah ini sudah terlau lama berlaku.
“Kami tidak menghalau mana mana pihak tapi bila jadi seperti orang luar semakin menyebabkan kami terhimpit di kediaman kami sendiri sehingga hasil hutan yang dimulakan oleh nenek moyang kami terjejas,” katanya.



