
CHENNAH – Keprihatinan Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam memastikan tiada anak tercicir daripada menerima bantuan pendidikan mendapat pengiktirafan apabila Bantuan Awal Persekolahan (BAP) disifatkan memberi ‘nafas lega’ kepada ibu bapa menjelang sesi persekolahan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tipus, Sharifah Sofia Syed Ahmad,41, berkata, kos persiapan persekolahan yang meningkat setiap tahun memerlukan perancangan kewangan rapi oleh ibu bapa, terutama bagi mendapatkan barangan asas seperti pakaian dan kasut sekolah.
Menurut beliau, pendekatan kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan secara menyeluruh tanpa mengehadkannya kepada kelompok tertentu membolehkan lebih ramai keluarga menerima manfaat.
“Sebagai penerima, ia sangat membantu saya dan ibu bapa yang lain khususnya kepada golongan yang memerlukan. Ada sesetengah ibu bapa memiliki anak ramai yang bersekolah menyebabkan bajet perbelanjaan untuk persekolahan menjadi tinggi.

“Biasanya duit bantuan itu digunakan untuk saya membeli baju dan kasut sekolah kerana kedua-duanya memang perlu diganti setiap tahun. Saya menghargai usaha kerajaan negeri di bawah Tok Min (Aminuddin), kerana mengambil berat kebajikan ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Sehubungan itu, Sharifah yang memiliki seorang cahaya mata berumur 10 tahun berpendapat, bantuan persekolahan itu wajar diteruskan malah diperkasakan kerana manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
“Sangat perlu diteruskan dan mungkin boleh diperkasakan. Alhamdulillah kita sekarang ni dapat bantuan ini secara menyeluruh. Bukan ikut tangga gaji, cikgu-cikgu pun layak dapat. Jadi ia sangat membantu sebenarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya usaha memperkasa pendidikan di Negeri Sembilan tidak hanya tertumpu kepada bantuan kewangan, sebaliknya turut memberi perhatian kepada kebajikan warga pendidik.
“Guru sekarang banyak terbeban dengan urusan pengisian data dan kerja pentadbiran. Beban itu kita kurangkan terhadap guru, seharusnya mereka tidak boleh diusik oleh urusan lain selain mengajar. Sepatutnya mereka diberi lebih banyak masa untuk fokus kepada pengajaran di dalam kelas,” katanya.
Sementara itu, bagi penduduk Simpang Durian, Syazwan Tajuddin, 38, bantuan persekolahan yang disediakan kerajaan negeri amat bermakna kepada penduduk luar bandar yang kebanyakannya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Beliau berkata, bantuan itu bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah memastikan anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan yang mencukupi.
“Bantuan kerajaan ini memang banyak membantu masyarakat luar bandar seperti kami. Pendapatan tidak seberapa, jadi bantuan ini memberi manfaat kepada keluarga untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
“Saya berharap bantuan ini diteruskan dan ditambah baik lagi pada masa akan datang supaya lebih ramai masyarakat luar bandar dapat menikmatinya serta memastikan anak-anak mendapat peluang pendidikan yang lebih baik,” katanya.


