
KOTA KINABALU – Aset yang paling bernilai bagi sesebuah institusi kewangan bukan hanya modal atau keuntungan, tetapi kepercayaan rakyat, justeru dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji perlu dilihat sebagai pemangkin kepada perubahan dalam memperkukuh tadbir urus institusi yang mengurus dana awam.
Penganalisis ekonomi, Dr Jain Yassin berkata, isu RCI Tabung Haji bukan hanya perlu dilihat sebagai satu pengajaran, tetapi juga sebagai satu pemangkin kepada perubahan dalam memperkukuh tadbir urus institusi yang mengurus dana awam.
“Laporan ini bukan sekadar sebagai isu berkaitan prestasi kewangan atau pelaburan semata-mata, tetapi sebagai satu isu yang melibatkan aspek keyakinan, tadbir urus dan kelestarian sebuah institusi amanah rakyat.
“Secara dasarnya, pastinya laporan ini mengecewakan rakyat Malaysia terutamanya individu yang menabung wang dengan penuh susah payah. Aset yang paling bernilai bagi sesebuah institusi kewangan bukan hanya modal atau keuntungan, tetapi kepercayaan rakyat,” katanya kepada pemberita The Malaysia Press pada Khamis.

Jain yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, berkata, isu utama dari sudut ekonomi ialah kebocoran sumber kewangan akibat kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik yang berlebihan.
“Ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah hakisan keyakinan pendeposit, ini boleh memberi kesan yang lebih luas jika tidak diurus dengan baik kerana kebimbangan yang berlebihan boleh menyebabkan reaksi pasaran yang tidak berdasarkan asas ekonomi sebenar.
“Dalam konteks pasaran kewangan, kebimbangan yang berlebihan dalam kalangan pendeposit boleh mempengaruhi tingkah laku ekonomi seperti keputusan untuk mengeluarkan simpanan atau mengubah strategi simpanan mereka.
“Misalnya, apabila pelabur atau pendeposit membuat keputusan secara serentak kerana rasa takut, ia boleh mencetuskan kesan domino terhadap kecairan dan nilai aset.
“Namun, risiko ini perlu dilihat berdasarkan keadaan sebenar pasaran dan asas kewangan institusi, bukan semata-mata persepsi,” kongsinya.
Tambahnya, hasil dapatan RCI itu juga memberikan pengajaran penting berkaitan tadbir urus pelaburan.
“Institusi yang mengurus dana besar perlu memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat berdasarkan prinsip profesional, iaitu keseimbangan antara risiko dan pulangan, analisis pasaran serta kepentingan jangka panjang pendeposit.
“Persoalannya, adakah isu tadbir urus pelaburan ini hanya berlaku di Tabung Haji atau turut melibatkan institusi lain yang mengurus dana besar?” kongsinya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap dapatan RCI itu menjadi titik perubahan untuk memperkukuhkan tadbir urus institusi awam.
“Pengurusan yang telus dan berhemah bukan sahaja melindungi pendeposit, malah meningkatkan keyakinan terhadap sistem kewangan negara dan memastikan institusi seperti Tabung Haji terus mampan untuk generasi akan datang.
“Keutamaan bukan lagi mencari siapa yang perlu dipersalahkan, tetapi memastikan reformasi tadbir urus dilaksanakan sepenuhnya.
“Tabung Haji perlu terus diperkukuh melalui ketelusan, akauntabiliti, pengurusan risiko yang lebih mantap dan keputusan pelaburan yang bebas daripada sebarang campur tangan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit.
“Namun, mana-mana pihak yang terlibat dalam salah laku perlu diadili mengikut undang-undang,” tegasnya.
Mengulas lanjut mengenai usaha penubuhan dan pendedahan dapatan RCI itu, Jain menyambut baik langkah berkenaan dalam memperkukuhkan akauntabiliti dan tadbir urus institusi awam.
“Ini perlu diperluaskan kepada semua institusi yang mengurus dana atau aset rakyat. Ia bukan hanya isu satu organisasi, tetapi soal bagaimana kita membina budaya tadbir urus yang lebih kukuh di seluruh sektor awam dan institusi berkaitan kerajaan.

“Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdepan cabaran besar untuk memulihkan semula keyakinan masyarakat serta mereformasikan institusi yang mengurus amanah rakyat.
“Namun, kesediaan untuk mengeluarkan laporan RCI ini merupakan satu langkah positif ke arah itu.
“Tindakan susulan yang jelas perlu supaya dapatan laporan dapat diterjemahkan kepada pembaharuan sebenar dan bukan sekadar dilihat sebagai langkah politik,” katanya.
Pada Rabu, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji didedahkan kepada umum selepas dipersetujui Jemaah Menteri untuk dinyahklasifikasikan.
Menurut laporan yang menyiasat pengurusan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 beberapa kelemahan dalam aspek tadbir urus, pengurusan risiko dan proses membuat keputusan pelaburan dikenal pasti, selain turut mengemukakan 25 syor penambahbaikan bagi memperkukuh ketelusan, akauntabiliti serta tadbir urus institusi berkenaan.
Kerajaan juga memutuskan agar siasatan lanjut dijalankan oleh agensi penguat kuasa terhadap sebarang unsur pelanggaran undang-undang yang dikenal pasti dalam laporan berkenaan.







