
KOTA KINABALU – Seramai 18,442 sukarelawan Skuad Antidadah berdaftar di Sabah sehingga Oktober 2026, mencerminkan komitmen masyarakat dalam membantu memperkukuh usaha pencegahan dadah di peringkat komuniti.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 265,460 ahli berdaftar di seluruh negara.
Beliau berkata, penglibatan masyarakat menerusi pendekatan menyeluruh atau ‘whole of society approach’ amat penting bagi memastikan usaha menangani ancaman dadah tidak hanya bergantung kepada AADK dan pihak berkuasa.
“Sebanyak 51 program komuniti menerusi inisiatif Kampung Angkat Bebas Dadah (KABD) di bawah program induk Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) digerakkan merentasi beberapa daerah antaranya Ranau, Kudat, Tuaran, Nabawan, Tongod, Kalabakan dan Semporna.
“Pelaksanaan program itu menggunakan pendekatan lebih dekat dengan masyarakat melalui pelbagai aktiviti termasuk sukan rakyat, futsal, e-sukan, program permotoran serta aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Hi Tea Skuad Antidadah Negeri Sabah bersama media 2026, di sini, pada Ahad.
Zainudin turut menyuarakan kebimbangan terhadap pendedahan penyalahgunaan bahan terlarang yang dikesan seawal usia 10 tahun, sekali gus menekankan kepentingan intervensi dan pendidikan pencegahan sejak peringkat awal.
“AADK memperluas inisiatif Skuad Junior Antidadah ke sekolah rendah dan menengah seluruh negara termasuk Sabah bagi membina daya tahan diri serta keberanian golongan muda menolak pengaruh rakan sebaya.
“Skuad Mahasiswa dan belia di institusi pengajian tinggi turut digerakkan untuk memimpin kempen gaya hidup sihat serta menjadi mentor kepada komuniti sekitar,” jelasnya.
Tambahnya, penstrukturan semula Skuad Antidadah juga turut memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu penyelarasan gerak kerja berdasarkan lokaliti berisiko tinggi, pengukuhan latihan sukarelawan serta penyertaan merentas generasi.



