JEMPOL – Pakatan Harapan (PH) optimis sentimen dalam kalangan pengundi atas pagar dilihat akan terus memihak dan memberi sokongan kepada gabungan itu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan perkembangan semasa, reaksi yang diterima daripada golongan pengundi itu adalah positif dan memberi keyakinan kepada gabungan itu untuk terus memperkukuh memenangkan calon di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemenangan mana-mana calon atau parti tidak ditentukan oleh kajian atau ramalan politik, sebaliknya bergantung kepada pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
“Yang akan memenangkan mana- mana calon ataupun mana-mana parti dalam Pilihan Raya adalah pengundi yang keluar untuk mengundi. Bukan kajian, bukan paranujum, tapi adalah pengundi.
“Setakat ini, bila kita lihat mood terutama di kalangan pengundi atas pagar agak positif dan semuanya terpulang kepada pengundi untuk buat keputusan.
“Kita jangkakan pada hari Sabtu, SPR meletakkan mungkin 75 peratus ataupun 70 peratus yang akan keluar mengundi. Itu satu sasaran agak baik dan kita jangkakan ramai yang
mungkin dari luar yang akan balik ke kampung halaman untuk mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada minum petang bersama komuniti Felda Bukit Rotan Barat yang turut dihadiri oleh xalon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G Manivannan, pada Selasa.
Fahmi ditanya berkenaan ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang mana Barisan Nasional (BN) mampu memenangi sehingga 25 kerusi pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berpandangan, kenyataan Kian Ming itu dilihat sebagai cabaran kepada semua calon PH untuk terus memperhebat usaha menyantuni rakyat, khususnya pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan solid dalam menyokong gabungan itu.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menegaskan, rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyaksikan peningkatan hasil negeri, simpanan, kutipan zakat dan pelaburan membuktikan kerajaan PH mempunyai prestasi yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat.
“Kita dah lihat bagaimana pentadbiran bawah Tok Min (Aminuddin) berjaya, bukan hanya menyelesaikan banyak perkara, hasil meningkat, simpanan meningkat, zakat meningkat, pelaburan meningkat, tidak berlaku apa-apa masalah melibatkan skandal mencuri duit rakyat ataupun perkara-perkara yang mungkin pernah berlaku sebelum-sebelum ini.
“Tok Min tidak ada apa-apa isu, contoh, menghantar duit ke luar negara. Tidak ada isu-isu seperti itu. Alhamdulillah, beliau seorang yang sangat merendah diri. Kita lihat
sekarang, walaupun ada kenyataan nak lanyak dia, kenyataan agak kasar, tapi beliau sempoi terus buat kerja,” katanya.




