
PAPAR – Masalah gangguan bekalan air di Papar, Putatan dan Kimanis dijangka akan dapat di atasi menjelang penghujung tahun ini apabila Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon serta loji muka sauk baharu di Kabang mula beroperasi mengikut jadual.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kedua-dua projek berkenaan perlu dipantau rapi bagi memastikan pelaksanaannya tidak lagi mengalami sebarang kelewatan demi memenuhi keperluan rakyat yang telah lama berdepan masalah bekalan air.
“Masalah bekalan air merupakan isu legasi, namun sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita komited untuk menyelesaikannya.
“Saya sendiri menerima banyak aduan. Saya berharap jabatan akan memberi perhatian serius terhadap semua isu ini dan memastikan rakyat tidak terus berdepan masalah bekalan air,” katanya ketika mendengar taklimat mengenai kedua-dua projek di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah supaya lebih proaktif menangani gangguan bekalan air dengan menghantar lori tangki ke kawasan terjejas, bukan sahaja di Papar malah di seluruh negeri.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Chee Chun Chieh memaklumkan LRA Kogopon yang bernilai RM365.9 juta dijadual mula membekalkan air pada penghujung November ini, walaupun keseluruhan projek hanya dijangka siap sepenuhnya pada 2028. Bekalan daripada loji itu akan memberi manfaat kepada pengguna di Papar, Putatan hingga Kimanis.
“Projek loji muka sauk Kabang bernilai RM39.73 juta telah mencapai 90 peratus kemajuan dan dijangka mula beroperasi pada September ini.
“Loji baharu ini akan meningkatkan kapasiti pengambilan air daripada sembilan juta liter sehari (MLD) kepada 30 MLD, selain mengatasi masalah kemasinan air yang sering menjejaskan operasi Loji Rawatan Air di bawah Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta kemudahan pengambilan air sedia ada di Limbahau,” kongsinya.
Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar.






