PORT DICKSON – Rakyat diseru menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai ruang memberi mandat moral kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpendirian tegas dalam isu antarabangsa, usaha membanteras rasuah, memperkukuh tadbir urus serta memulihkan ekonomi negara.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, ia turut menjadi platform bagi rakyat menunjukkan sokongan terhadap ketegasan Perdana Menteri dalam mempertahankan pendirian Malaysia berhubung isu Israel.
Menurut beliau, pelbagai usaha membanteras rasuah, memperkasa integriti dan memperkukuh ekonomi negara oleh Menteri Kewangan tersebut seharusnya dinatijahkan menerusi sokongan daripada pengundi di Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
“PRN ini sebagai platform untuk mendapatkan mandat moral daripada rakyat terhadap kepimpinan Anwar termasuk pendiriannya dalam isu antarabangsa, usaha membanteras rasuah.
“Pada masa sama, Anwar juga memperkukuh tadbir urus, serta memulihkan ekonomi negara. Namun, para pengundi juga akan mengambil kira faktor prestasi kerajaan negeri, kredibiliti calon, isu kos sara hidup, peluang ekonomi.
“Sejauh mana dasar yang dilaksanakan benar-benar dirasai memberi manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Dalam pada itu, Mashitah yang juga Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) UUM berkata, sekiranya pengundi melihat terdapat kesinambungan antara kestabilan politik, prestasi pentadbiran dan kesejahteraan rakyat, keadaan terbabit berpotensi memberikan kelebihan kepada PH.

“Namun, keputusan akhir tetap bergantung kepada pertimbangan menyeluruh para pengundi terhadap isu-isu yang paling dekat dengan kehidupan mereka pada masa kini,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan MADANI menegaskan Malaysia akan mengusir serta-merta mana-mana warga Israel yang dikesan menyertai program Network School di Forest City, Johor.
Susulan pendirian itu, lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tegas Anwar berhubung isu berkenaan.
Mereka ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss, yang kesemuanya daripada Parti Demokrat.








