
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menambah peruntukan sebanyak RM5 juta bagi Program MamaKerja menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM10 juta untuk memanfaatkan sehingga 10,000 ibu bekerja di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban ibu bekerja yang berdepan kos penjagaan anak yang semakin tinggi, selain mengelakkan mereka daripada terpaksa memilih antara meneruskan kerjaya atau berhenti kerja.
Beliau berkata, kos menghantar anak ke taska atau pusat jagaan menjadi antara komitmen kewangan terbesar yang dihadapi keluarga, khususnya di Selangor.
“Program MamaKerja merupakan antara janji Kerajaan Perpaduan kepada rakyat Selangor ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 dan hari ini janji itu terus ditunaikan.
“Sejak dilancarkan, sebanyak 5,595 permohonan diterima dan seramai 3,850 ibu bekerja telah menerima manfaat daripada insentif ini,” katanya.
Menurut Amirudin, setiap penerima akan menerima insentif RM1,000 yang disalurkan menerusi aplikasi Nine sebagai bantuan bagi menampung kos taska atau pusat jagaan anak.
Katanya, kerajaan negeri mengiktiraf peranan wanita sebagai tunjang keluarga dan pemacu ekonomi negeri, justeru usaha memperkasakan golongan ibu bekerja akan terus menjadi antara keutamaan pentadbiran Selangor.
Beliau berkata, permohonan bagi fasa baharu Program MamaKerja akan dibuka pada Ogos ini menerusi aplikasi Nine.
“Permohonan terbuka kepada ibu bekerja yang mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000 sebulan.
“Kami janji dan kami tunaikan,” katanya.




