
PORT DICKSON – Kerajaan negeri Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) merupakan antara negeri yang secara konsisten berjaya mengeluarkan penduduknya daripada taraf miskin tegar saban tahun serta diperhebat dari semasa ke semasa meliputi masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya turut berjaya menyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini untuk menjadi negeri terawal serta paling ramai dalam mengeluarkan penduduknya daripada taraf miskin tegar.
Beliau yang juga calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, Negeri Sembilan juga antara kerajaan negeri yang berjaya mengangkat martabat penjawat awam.
“Apa yang saya buat adalah untuk kepentingan rakyat, sediakan peluang pekerjaan, maka kita berjaya jadi negeri yang terbanyak keluarkan penduduk Melayu, Cina dan India daripada miskin tegar.
“Usaha ini kita lakukan setiap tahun dan dari semasa ke semasa menerusi proses dan jentera kerajaan yang bekerja hari ini untuk kita terus mengangkat darjat rakyat kebanyakan,” katanya menerusi sidang media, pada Khamis.
Pada masa sama, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, lebih banyak masjid dibina di Negeri Sembilan ketika beliau menjadi Menteri Besar berbanding ketika pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.
“Selain mengangkat martabat orang Melayu dan Islam itu, kita juga membantu masyarakat Cina dan India, sebagai contoh dalam pembelian tanah daripada leasehold yang kita bantu dapatkan freehold. Inilah Negeri Sembilan, kerajaan negeri tidak terikat dengan mana-mana pihak (jadi boneka).
“Dalam hal ehwal bukan Islam, masyarakat Cina dan India ada tabung sendiri yang boleh membantu mereka, dan dalam masa sama kerajaan negeri juga membantu bagi bersama-sama memastikan negeri ini berjaya kita angkat,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau bersedia berdepan lebih banyak tuduhan terhadapnya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini khususnya berkenaan dakwaan kononnya beliau merupakan boneka pihak tertentu terutama DAP.
Tegas beliau, dakwaan seperti itu tidak memberi kesan kepadanya serta keseluruhan gerak kerja kempen PH memandangkan rakyat lebih matang dalam menilai setiap dakwaan yang dibangkitkan.
“Apa yang kami tawarkan dalam manifesto itu sudah cukup untuk kami terangkan kepada rakyat berkenaan perkara yang ingin kita laksanakan dan perbaharui, serta niat dan tekad kita kepada rakyat.
“Itu yang paling penting bagi kita dan saya rasa itu dapat menghalang daripada tohmahan yang dibuat terhadap kita,” katanya.




