
PORT DICKSON – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, bertekad bekerja ‘200 peratus’ bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos nanti.
Komitmen itu hadir selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengesahkan beliau sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya mempertahankan pentadbiran negeri.
Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, pengumuman berkenaan bukan perkara baharu kerana sudah beberapa kali diumumkan sejak pelancaran jentera pilihan raya.
Menurut beliau, barisan calon PH kali ini memiliki pengalaman dan kemampuan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri sekiranya diberi mandat sekali lagi, selain yakin rakyat mampu menilai sendiri rekod pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan prestasi serta tawaran yang dikemukakan.
“Perdana Menteri sudah umum beberapa kali bahawa saya calon Menteri Besar. Jadi, saya perlu bekerja bukan lagi 100 peratus, tetapi 200 peratus bersama seluruh pasukan bagi memastikan kemenangan PH.
“Saya akan memastikan bahawa kita mampu mengorak langkah kerana itu kita nampak calon-calon daripada PH kali ini mampu memberikan saingan dengan pengalaman dan kebolehan mereka. Mereka juga mampu melaksanakan amanah ini dengan baik, Insya-Allah,” katanya menerusi sidang media, pada Khamis.
Beliau yang juga calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap usaha melaksanakan strategi akhir menjelang hari pengundian pada 1 Ogos ini.
“Saya rasa waktu itu agak suntuk, sepatutnya lebih awal kalau ingin berdebat, bukan di penghujung. Kerana kita perlu memberi strategi akhir kepada calon-calon yang sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya.
“Kita tidak ada masa yang lama, hujung minggu ini pula tempoh penting untuk kita pastikan gerak kerja kempen kita. Kita ada strategi akhir yang perlu kita kekalkan,” katanya.
Aminuddin berkata, tempoh masa kempen yang masih berbaki perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap calon bertanding untuk bertemu seramai mungkin pengundi.
“Bagi saya, apabila kita berjumpa secara terus pengundi, ada permasalahan-permasalahan kecil yang kita boleh selesaikan bersama. Kita dengar dan insya-Allah, kita selesaikan permasalahan di bawah, bukan sahaja di DUN Linggi, tetapi di seluruh Negeri Sembilan.
“Sebab itu kita minta semua calon PH pada PRN Negeri Sembilan ini ambil perhatian tentang aduan-aduan dan permasalahan-permasalahan setempat,” katanya.






