
SHAH ALAM – Gangguan sementara perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam pagi tadi disahkan berpunca daripada tindakan seorang lelaki menceroboh kawasan landasan berhampiran Stesen Jalan Meru.
Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.15 pagi, sebelum petugas operasi bersama anggota Polis Bantuan bertindak segera mengesan dan menahan individu terbabit.
“Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Klang untuk tindakan lanjut.
“Rapid KL akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam membantu siasatan kes ini,” menurut kenyataan itu.
Bagi menjamin keselamatan penumpang serta operasi perkhidmatan, Rapid KL memaklumkan tren antara Stesen Jalan Meru dan Stesen Jambatan Kota dihentikan sementara selama kira-kira 30 minit.
Langkah itu diambil bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dijalankan serta memastikan kawasan landasan berada dalam keadaan selamat sebelum operasi disambung semula.
Rapid KL turut memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat gangguan sementara tersebut dan menegaskan bahawa aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan syarikat.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menceroboh kawasan landasan kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan diri serta pengguna perkhidmatan rel yang lain.
Penumpang juga disaran agar sentiasa berwaspada terhadap keadaan sekeliling dan segera melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan kepada petugas stesen atau anggota Polis Bantuan bagi memastikan keselamatan semua pihak terus terpelihara.







