
KUALA LUMPUR – Tetuan Christopher & Lee Ong menegaskan tuntutan RHB Capital Bhd terhadap Tan Sri Abdul Rashid Hussain dalam satu guaman sivil kira-kira 20 tahun lalu ditolak sepenuhnya oleh Mahkamah Tinggi, sekali gus menafikan dakwaan serta gambaran mengenai salah laku terhadap bekas tokoh perbankan itu.
Dalam kenyataan balas terhadap kiriman Facebook Eric See-To – Lim Sian See pada 4 September lalu, firma berkenaan berkata, tuntutan itu adalah sebahagian daripada dua guaman sivil yang pernah dibawa terhadap Abdul Rashid oleh entiti dalam kumpulan RHB.
“Penerbitan tersebut mengandungi cadangan, implikasi dan sindiran mengenai salah laku, oleh dan berhubung Tan Sri Abdul Rashid Hussain, yang tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah,” menurut kenyataan itu.
Firma berkenaan berkata, Guaman Sivil No. D2-22-181-2004 yang difailkan RHB Capital Bhd terhadap Abdul Rashid diteruskan ke perbicaraan penuh di hadapan Mahkamah Tinggi dan didengar selama beberapa hari.
“Setelah perbicaraan itu selesai, tuntutan terhadap Tan Sri Abdul Rashid Hussain telah ditolak sepenuhnya dengan kos diperintahkan kepada Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
“Rayuan RHB Capital Bhd terhadap keputusan tersebut telah ditarik balik pada 12 Disember 2007, tanpa kebenaran untuk memfailkan semula. Walaupun tiada perintah mengenai kos direkodkan semasa penarikan balik tersebut, terma-terma penyelesaian memperuntukkan kepada Tan Sri Abdul Rashid Hussain kos ditanggunginya,” katanya.
Bagi satu lagi guaman, iaitu Guaman Sivil No. D2-22-283-2005 yang difailkan RHB Equities & 2 Lagi terhadap Abdul Rashid dan lima defendan lain, firma itu berkata tindakan berkenaan dihentikan pada 7 Disember 2007.
“Guaman Kedua telah dihentikan terhadap Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan kesemua defendan lain pada 7 Disember 2007, tanpa kebenaran untuk memfailkan semula, berdasarkan terma-terma penyelesaian juga termasuk peruntukan kos kepada Tan Sri Rashid Hussain,” menurut kenyataan itu.
Firma itu berkata, pihaknya sebelum ini bertindak sebagai peguamcara bagi Abdul Rashid dalam kedua-dua prosiding berkenaan dan diarahkan untuk menyatakan fakta material dengan tepat.
“Keputusan bagi kedua-dua guaman tersebut merupakan suatu pembersihan nama yang lengkap dan tidak berbelah bahagi bagi Tan Sri Abdul Rashid Hussain,” katanya.
Sehubungan itu, firma berkenaan menegaskan sebarang cadangan, implikasi atau sindiran mengenai salah laku di pihak Abdul Rashid berhubung perkara pokok kedua-dua guaman berkenaan adalah tidak berasas.
“Oleh yang demikian, sebarang cadangan, implikasi atau sindiran mengenai salah laku di pihak Tan Sri Abdul Rashid Hussain berhubung dengan perkara pokok guaman-guaman tersebut adalah sama sekali tidak wajar, tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat,” menurut kenyataan itu.
Dalam kiriman itu, Eric See-To membangkitkan semula tuntutan RM1.43 bilion terhadap Abdul Rashid berkaitan kemudahan pembiayaan margin, selain mempersoalkan keputusan RHB menghentikan tindakan berkenaan pada 7 Disember 2007 ketika prosiding masih berjalan.





