
KENYATAAN Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa menyertai parti itu dan berjuang atas landasan Islam boleh membawa seseorang ke syurga tidak seharusnya difahami sebagai jaminan terhadap kedudukan seseorang di akhirat, kata Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Prof Dr Tajuddin Rasdi.
Beliau berkata, umat Islam tidak wajar mendabik dada atau berasa lebih baik daripada orang lain hanya kerana terlibat dalam perjuangan politik yang didakwa berlandaskan Islam, sebaliknya perlu sentiasa menilai niat, amalan dan keadaan hati masing-masing.
“Apakah masuk syurga itu semudah isi borang dan masuk parti? Ia bergantung kepada perasaan kita, bergantung kepada niat kita dan juga keadaan di mana kita sendiri melihat atau membuat refleksi terhadap diri sendiri,” katanya dalam video yang dimuat naik di YouTube hari ini.
Tajuddin mengulas kenyataan Takiyuddin berhubung perjuangan menerusi Pas yang disifatkan beliau sebagai berada di landasan Islam dan boleh membawa seseorang ke syurga.
Takiyuddin berkata demikian dalam Ceramah Perdana Jubli Intan 75 Tahun Pas Pusat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan malam semalam.
Menurut Tajuddin, seseorang tidak mengetahui bagaimana pengakhiran hidupnya dan perkara itu perlu menjadi peringatan supaya tidak terlalu yakin dengan amalan sendiri sehingga menganggap dirinya pasti memperoleh ganjaran di akhirat.
Beliau turut memetik hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim mengenai seseorang yang sepanjang hidupnya melakukan amalan yang dilihat sebagai amalan ahli syurga, namun pengakhirannya berubah sehingga melakukan amalan ahli neraka.
“Jadi kita tak boleh mendabik dada kata, kita ini berjuang Islam, lama-lama kita ini kononnya nampak buat baik. Kita tak boleh buat macam itu. Itu bukan cara yang diajar oleh Rasulullah SAW,” katanya.
Tajuddin berkata kedudukan seseorang di sisi Allah SWT tidak seharusnya dikaitkan semata-mata dengan parti politik yang disertainya, sebaliknya amalan, niat dan hati seseorang turut menjadi perkara yang perlu diperhatikan.
“Kita berserah kepada Allah sama ada kita dalam UMNO ke, DAP ke, itu semua bukannya dikira. Yang dikira amalan kita, niat kita, hati kita macam mana dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut mengambil kisah Saidina Ali bin Abi Talib sebagai contoh mengenai kepentingan menjaga niat ketika melakukan sesuatu perjuangan.
Menurutnya, kisah itu memberi pengajaran bahawa seseorang perlu memastikan tindakannya benar-benar dilakukan kerana Allah SWT dan bukan didorong kemarahan, kebencian atau kepentingan peribadi.
Katanya, perkara sama perlu dilihat dalam konteks perjuangan politik, termasuk apabila seseorang menggunakan agama sebagai asas perjuangan.
“Walaupun kita berjuang dalam satu parti yang nama dia Islam, kita kena tengok bahawa nak masuk syurga itu bergantung kepada niat. Niat apa,” katanya.
Tajuddin berkata, niat untuk mendapatkan kuasa, habuan, jawatan atau kepentingan peribadi boleh menjejaskan nilai sesuatu perjuangan yang didakwa berlandaskan agama.
“Banyak mana kita buat pun, lama mana kita berjuang pun, akhir sekali kita kena harap kepada rahmat Allah,” katanya.
Beliau berkata, umat Islam juga perlu berhati-hati daripada sifat takbur dan sombong terhadap amalan sendiri kerana tiada siapa mengetahui kedudukan akhirnya di sisi Allah SWT.
Mengambil contoh pesanan Allahyarham Datuk Ismail Kamus, Tajuddin berkata, seseorang perlu melihat perkara yang sedikit sebagai banyak dan perkara yang banyak sebagai sedikit.
Menurutnya, dosa yang dianggap kecil seperti mengata, menghina atau melemparkan kata-kata buruk terhadap orang lain tidak seharusnya dipandang ringan, manakala amalan yang dianggap banyak seperti berkempen, memberi sumbangan atau menyertai perhimpunan pula tidak wajar dibesar-besarkan.
“Di akhirat nanti, kita akan berdiri sendiri. Kita kena justifikasi apa yang kita buat. Tak boleh kita harapkan bantuan atau tuduhan kepada sesiapa,” katanya.
Tajuddin berkata, perkara itu sewajarnya menjadi peringatan kepada umat Islam untuk sentiasa melakukan muhasabah diri serta tidak menganggap perjuangan politik sebagai ukuran mutlak terhadap kedudukan seseorang di akhirat.
“Kita tak tahu apa yang akan kita buat sehasta antara kita dengan syurga, antara kita dengan neraka. Dan kita sentiasa perlu ingat dan tidak takbur tentang perkara ini,” katanya.
Beliau berharap peringatan berkenaan dapat memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya umat Islam, supaya sentiasa memperbaiki diri dan tidak terlalu yakin dengan amalan sendiri.






