KUALA LUMPUR – Asas ekonomi Malaysia yang kukuh terus menyediakan ruang dan peluang pelaburan yang menarik dalam pasaran modal negara.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, pendidikan pelabur serta peningkatan literasi kewangan perlu diberi perhatian bagi memastikan rakyat dapat membuat keputusan pelaburan secara bermaklumat.
Katanya, keputusan pelaburan perlu dibuat dengan mengambil kira keadaan peribadi, objektif pelaburan dan minat risiko setiap individu.
“Saya fikir kepentingan mengelakkan penipuan kewangan benar-benar menjadi isu sosial yang sebenar, terutamanya di Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian InvestSmart X Bursa Marketplace Fair 2026, di sini, hari ini.
Johan berkata, skala penipuan pelaburan di Malaysia amat membimbangkan apabila rakyat negara ini mengalami kerugian kira-kira RM1.47 bilion akibat penipuan berkenaan pada 2025.
Sehubungan itu, beliau berharap InvestSmart X Bursa Marketplace Fair 2026 dapat membantu rakyat membuat keputusan pelaburan dengan lebih berpengetahuan, selain meningkatkan keupayaan mereka melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Menurutnya, peluang pelaburan dalam pasaran Malaysia kekal menarik, dengan pasaran modal menyediakan pelbagai pilihan menerusi pengurus dana dan broker bagi memenuhi objektif pelaburan serta profil risiko yang berbeza.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia bekerjasama menerusi inisiatif InvestSmart yang berlangsung dari 5 hingga 6 September.
Kerjasama sulung itu menggabungkan pendidikan pelabur, pandangan pasaran dan panduan praktikal bagi melengkapkan peserta dengan pengetahuan untuk menilai peluang pelaburan, memahami risiko serta mengenal pasti potensi penipuan.






