PORT DICKSON – Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Port Dickson, Datuk Kenny Chiew Chi Kin menyangkal dakwaan kononnya tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan selepas tidak dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah.
Menurutnya, beliau secara terbuka menerima keputusan pucuk pimpinan parti yang mengekalkan penyandang, Datuk Yew Boon Lye sebagai calon PH di kerusi berkenaan bagi memastikan kemenangan gabungan itu.
Kenny menegaskan, pihaknya akan kekal memberi sokongan penuh kepada semua calon PH di kawasan Parlimen Port Dickson dan akan terus di belakang gabungan bagi membantu jentera parti sepanjang tempoh kempen agar agenda membela rakyat dapat dilaksana tanpa sebarang gangguan teknikal.
“Sama ada saya memegang jawatan atau tidak, hati dan jiwa saya tetap bersama masyarakat di Chuah. Saya akan terus membantu parti dan memastikan jentera pilihan raya dapat memberi fokus kepada usaha memenangkan calon-calon PH.
“Kepimpinan parti juga telah memberi jaminan bahawa khidmat serta pengalaman saya akan terus diguna pakai melalui platform yang sesuai selepas pilihan raya ini tamat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Dalam pada itu, Kenny memaklumkan, beliau sebelum ini pada peringkat awal merupakan antara nama yang dipertimbangkan untuk diketengahkan sebagai calon, namun hasrat itu tidak dapat diteruskan susulan beberapa isu teknikal yang memerlukan masa untuk diselesaikan.
Menurut beliau, isu itu memakan masa untuk ditangani dan memandangkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin hampir, maka pucuk pimpinan parti membuat keputusan mengekalkan Boon Lye di kerusi DUN Chuah.
“Keputusan agar saya tidak bertanding pada pilihan raya kali ini bukan disebabkan parti hilang kepercayaan terhadap saya, dan juga bukan kerana saya melakukan sebarang kesalahan.
“Namun, memandangkan proses pembaikan rekod sistem memerlukan tempoh masa, sementara tarikh hari penamaan calon telah tiba, saya bersama kepimpinan parti telah membuat keputusan strategik ini untuk memastikan PH mampu kekalkan kemenangan di DUN Chuah,” katanya.
Terdahulu, pengundi di beberapa kawasan di DUN Chuah dan Sri Tanjung dikejutkan dengan poster yang diedarkan di kawasan mereka yang mendakwa Kenny tidak berpuas hati selepas tidak dipilih sebagai calon DUN Chuah pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Poster itu turut menggambarkan seolah-olah wujud perpecahan dalaman khususnya dalam kalangan pemimpin dan penyokong PKR di Port Dickson.


