Defisit Akaun Pembangunan bukan bermakna projek pembangunan bermasalah – Masidi

KOTA KINABALU – Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menjelaskan, bahawa defisit dalam Akaun Pembangunan tidak boleh disalah tafsir sebagai kegagalan atau defisit projek pembangunan kerana kedua-duanya merupakan perkara yang berbeza.

Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, defisit Akaun Pembangunan telah wujud sejak berpuluh-puluh tahun dan sering menerima teguran daripada Jabatan Audit Negara supaya dikurangkan, selain merupakan legasi yang diwarisi daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Caruman ke dalam Kumpulan Wang Pembangunan dibuat bagi mengurangkan defisit akaun berkenaan dan bukannya kerana projek pembangunan mengalami defisit.

“Keadaan itu bukan hanya berlaku di Sabah malah Kumpulan Wang Pembangunan Kerajaan Persekutuan turut merekodkan defisit sebanyak RM10.217 bilion pada 2023, sekali gus menunjukkan ia adalah amalan lazim dalam pengurusan kewangan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi pengulungan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-17, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut perbelanjaan pengoperasian yang masih melebihi perbelanjaan pembangunan, Masidi berkata, keadaan itu berlaku sejak sekian lama berikutan kutipan hasil negeri yang sebelum ini tidak begitu besar.

“Kekangan hasil menyebabkan kerajaan mengurus Perbelanjaan Perbekalan dan Perbelanjaan Pembangunan mengikut kemampuan kewangan negeri.

“Bagaimanapun, kedudukan kewangan Sabah yang semakin kukuh membolehkan kerajaan meningkatkan siling peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kepada RM12 bilion bagi tempoh lima tahun berbanding RM4 bilion di bawah RMK12,” jelasnya.

Menurutnya, peningkatan tiga kali ganda itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkasakan agenda pembangunan negeri.

Jelasnya, nisbah Perbelanjaan Perbekalan kepada Perbelanjaan Pembangunan turut bertambah baik daripada 80:20 pada 2025 kepada 76:24 bermula tahun ini.

“Perbelanjaan Perbekalan masih lebih tinggi kerana melibatkan kos penyelenggaraan aset kerajaan seperti bangunan, jalan raya, jambatan, sistem perparitan, cerun, paip air dan sistem pembetungan.

“Peningkatan nisbah perbelanjaan pembangunan memerlukan lebihan hasil yang lebih besar supaya lebih banyak dana dapat disalurkan kepada program pembangunan Baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kerajaan negeri terus mengamalkan dasar fiskal yang berhemat dan berdisiplin dengan memastikan setiap perbelanjaan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan negeri serta mengekalkan lebihan belanjawan.

“Keperluan sebenar bagi menampung perbelanjaan Perbekalan dan Pembangunan tahun 2026 dianggarkan sebanyak RM7.97 bilion, berbanding hasil yang diunjurkan sekitar RM6.4 bilion.

“Belanjawan 2026 dirangka berasaskan prinsip “Spend what you have, not what you don’t have” bagi memastikan perbelanjaan tidak melebihi kemampuan hasil negeri.

Masidi memaklumkan, disiplin kewangan itu berjaya meningkatkan rizab negeri kepada lebih RM7 bilion pada akhir 2025, manakala baki Akaun Hasil Disatukan meningkat daripada sekitar RM70 juta pada 1998 kepada RM7.6 bilion.

“Mengenai permohonan tambahan peruntukan, kerajaan akan terus mengambil kira prestasi kutipan hasil semasa sebelum menentukan jumlah tambahan yang sesuai bagi mengekalkan lebihan belanjawan dan memperkukuh rizab negeri.

“Hasrat Kerajaan Sabah adalah jelas, iaitu membina sebuah kerajaan negeri yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, berdikari dan berdaya tahan supaya pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara mampan tanpa terlalu bergantung kepada ihsan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Related Posts

Guna mata pukat kurang 38 milimeter, vesel pukat tunda ditahan

LUMUT – Tindakan sebuah vesel pukat tunda Kelas C menggunakan mata pukat berukuran kurang daripada 38 milimeter membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau…

Lebih lanjut

teruskan membaca
SWCS rayu KPDN pertimbang kelayakan subsidi bahan api kenderaan kebajikan

KUCHING – Majlis Kebajikan Sosial Sarawak (SWCS) merayu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) agar menyemak semula kelayakan kenderaan institusi kebajikan di bawah program subsidi bahan api…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Guna mata pukat kurang 38 milimeter, vesel pukat tunda ditahan

Guna mata pukat kurang 38 milimeter, vesel pukat tunda ditahan

Penjawat awam diingatkan tidak sambil lewa, terus tingkat keberkesanan – PM

Penjawat awam diingatkan tidak sambil lewa, terus tingkat keberkesanan – PM

SWCS rayu KPDN pertimbang kelayakan subsidi bahan api kenderaan kebajikan

SWCS rayu KPDN pertimbang kelayakan subsidi bahan api kenderaan kebajikan

Keharmonian muafakat Jemaah Menteri di tahap baik – PMX

Keharmonian muafakat Jemaah Menteri di tahap baik – PMX

RM454 juta memang rekod, tetapi jangan hilangkan RM1.9 bilion daripada cerita

RM454 juta memang rekod, tetapi jangan hilangkan RM1.9 bilion daripada cerita

Malaysia atasi banyak negara maju, ketiga terbaik dunia untuk didiami pada 2026

Malaysia atasi banyak negara maju, ketiga terbaik dunia untuk didiami pada 2026