KLEBANG – Penduduk Pulau Gadong mendakwa kawasan mereka seolah-olah dianaktirikan wakil rakyat terdahulu apabila pembangunan serta kemudahan asas lebih tertumpu kepada kawasan ‘kroni’ Barisan Nasional (BN).
Roslee Ibrahim, 50, yang melakukan kerja kampung berkata, keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang merasakan kawasan mereka kurang mendapat perhatian berbanding kawasan lain dalam DUN Klebang.
Menurutnya, meskipun tidak menafikan terdapat pembangunan dilaksanakan, agihan perhatian dan kemudahan kepada penduduk sepatutnya dilakukan secara adil tanpa mengira kawasan yang menyokong atau menolak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong
“Mantan YB (penyandang ADUN Klehang) yang sebelum ni, saya pun kenal, pernah tegur sapa juga. Dia ni macam ada berat sebelah. Kalau kita tengok DUN Klebang ini, sebelah sana mungkin Bukit Rambai, sini Pulau Gadong. Dekat Pulau Gadong ini macam kurang sedikit, kurang diberi perhatian.
“Kalau ada pun, beri perhatian kepada kroni-kroni dia. Kita bukan nak kata apa, kalau benda baik kita cakap baik, kalau tak baik kita cakap tak baik,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Roslee yang juga dikenali sebagai Dak Yang berkata, pendekatan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana seseorang wakil rakyat bertanggungjawab menjaga kebajikan seluruh penduduk tanpa mengira kecenderungan politik mereka.
Beliau berpandangan, ADUN Klebang seharusnya membina semula kepercayaan pengundi di kawasan yang menolak pemimpin terbabit dengan memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha menjaga kebajikan penduduk.
“Sepatutnya sebagai wakil rakyat, kawasan yang kita kalah itu kita kena beri perhatian lebih sedikit. Kita nak memujuk hati pengundi. Apabila kita buat macam itu, lagilah pengundi rasa meluap-luap, tidak sabar nak jatuhkan dia.

“Sebagai pemimpin kena tengok orang kat bawah. Walaupun budak kampung, tapi kadang IQ dia orang lebih baik daripada sesetengah YB ni. Jangan sangka orang tak berpelajaran ni sehina-hinanya. Sekarang kita terbang di langit, kena ingat suatu hari nanti kita akan jatuh ke bumi sehina-hinanya. Dunia ini berputar,” katanya.
Mengulas permasalahan dihadapi penduduk, Roslee memaklumkan, sistem perparitan yang dilaksanakan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga apabila isu itu sudah berlarutan hampir 10 tahun, walaupun perkara itu sudah diangkat kepada wakil rakyat di Klebang.
Pada masa sama, terdapat lorong perumahan yang hanya menerima turapan jalan separuh, manakala beberapa laluan lain langsung tidak mempunyai kemudahan berkenaan, selain sistem longkang yang turut dibangunkan secara tidak menyeluruh.
“Kalau satu lorong itu, bahagian depan sudah siap, tetapi lorong kedua hanya separuh, manakala lorong ketiga langsung tidak ada. Jalan pun sama, ada yang diturap tetapi tidak sampai ke hujung.
“Sepatutnya kalau projek sudah dimulakan, siapkanlah semuanya. Jangan buat separuh jalan macam ini. Dah panjangkan benda ni kepada pihak yang berkenaan. Tapi buat masa ini, kalau ikutkan projek tu terbantutlah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap calon Pakatan Harapan (PH), Farzana Hayani Mohd Nasir, yang bertanding di DUN Klebang pada PRN Melaka kali ini dapat memberi perhatian terhadap masalah berkenaan sekiranya diberikan mandat.
“YB (Yang Berhormat) ini dipilih oleh rakyat. Rakyat yang naikkan dia, rakyat juga boleh jatuhkan dia. Jangan pilih kasih kerana semua penduduk berhak mendapat perhatian dan bantuan yang sewajarnya,” katanya.


