
SETIAP kali menjelang pilihan raya, rakyat Malaysia sering dihidangkan dengan naratif yang hampir sama iaitu akan muncul seorang ‘musuh’ yang dikatakan perlu ditentang habis-habisan.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, musuh itu berubah mengikut keadaan politik, tetapi pendekatannya tetap sama, menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat.
Katanya, ketakutan dijadikan alat untuk mempengaruhi pilihan pengundi, sehingga rakyat mengundi bukan kerana yakin kepada sesuatu dasar atau kepimpinan, tetapi kerana bimbang terhadap apa yang mungkin berlaku jika pihak lain memerintah.
“Inilah yang boleh disebut sebagai politik ketakutan. Ia bukan lagi pertandingan idea, dasar atau penyelesaian, sebaliknya pertandingan untuk menentukan siapa yang paling berjaya mencetuskan kebimbangan dalam fikiran rakyat.
“Sejarah politik negara memperlihatkan bagaimana naratif ketakutan sentiasa berubah mengikut kepentingan semasa. Pernah suatu ketika Pas mengingatkan orang Melayu dan umat Islam bahawa menyokong UMNO membawa implikasi terhadap agama,” katanya.
Kemudian pula, Mahfuz memberitahu, Pas digambarkan sebagai ancaman kepada orang Melayu kerana hubungannya dengan DAP.
“Selepas itu, UMNO yang bekerjasama dalam Kerajaan MADANI pula menjadi sasaran dengan pelbagai gelaran politik,” ujarnya.
Jelasnya lagi, hari ini masih ada pihak yang menjadikan DAP sebagai simbol ketakutan untuk mempengaruhi pengundi Melayu. Persoalannya, sampai bilakah politik negara harus berputar dalam kitaran yang sama?
“Setiap kali pilihan raya, rakyat diminta memilih berdasarkan ketakutan terhadap pihak lain, sedangkan perbahasan mengenai dasar, ekonomi, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup sering tenggelam di sebalik retorik politik.
“Hakikatnya, ketakutan tidak membina sekolah, tidak mencipta pekerjaan dan tidak menurunkan harga barang. Ketakutan juga tidak meningkatkan pendapatan rakyat atau menarik pelaburan baharu,” ujarnya.
Menurutnya, perkara yang membina negara ialah pentadbiran yang cekap, dasar yang jelas, tadbir urus yang telus dan perpaduan masyarakat yang kukuh.
“Politik ketakutan sebenarnya memberi keuntungan kepada ahli politik yang kekurangan jawapan terhadap persoalan sebenar rakyat,” katanya.
Apabila rakyat sibuk mempertahankan identiti atau melawan musuh yang digambarkan, jelasnya, mereka mempunyai lebih sedikit ruang untuk bertanya soalan yang lebih penting.
“Bagaimana ekonomi hendak diperkukuh? Apakah strategi meningkatkan gaji? Bagaimana anak muda memperoleh pekerjaan yang lebih baik? Bagaimana pendidikan negara dapat diperkasakan?
” Soalan-soalan inilah yang sepatutnya menjadi ukuran kepada setiap parti politik,” katanya.
Dalam kehidupan seharian, ujarnya, manusia memahami bagaimana ketakutan boleh digunakan untuk mengawal tingkah laku.
“Dahulu, ibu bapa menakutkan anak-anak dengan pelbagai cerita agar mereka mematuhi nasihat tertentu. Walaupun niatnya mungkin baik, anak-anak akhirnya bertindak kerana takut, bukan kerana memahami sebab sebenar,” ujarnya.
Menurut Mahfuz, dalam politik, pendekatan sebegini jauh lebih berbahaya kerana ia melibatkan masa depan sebuah negara. Rakyat yang sentiasa dipupuk dengan rasa takut akan lebih mudah dipengaruhi berbanding rakyat yang dibimbing untuk berfikir secara kritis.
“Malaysia memerlukan politik yang memandang ke hadapan, bukannya politik yang sentiasa memandang ke belakang.
“Sebuah negara tidak boleh dipimpin dengan hanya melihat bayang-bayang ancaman. Sebaliknya, negara mesti dipimpin dengan visi yang jelas tentang destinasi yang ingin dicapai.
Jelasnya, persaingan politik seharusnya berkisar pada siapa yang mempunyai dasar terbaik, pasukan pentadbiran paling berwibawa dan keupayaan paling tinggi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Bagi orang Melayu khususnya, sejarah membuktikan bahawa bangsa ini pernah membina tamadun, merentas lautan, membuka penempatan baharu dan menjadi pusat perdagangan yang dihormati.
Kejayaan itu lahir daripada keberanian, keyakinan dan kebijaksanaan, bukannya daripada rasa takut,” katanya.
Oleh itu, menurut Mahfuz, orang Melayu hari ini juga wajar membuat pilihan berdasarkan ilmu, fakta dan pertimbangan yang rasional, bukan semata-mata dipengaruhi sentimen yang membangkitkan kebimbangan.
Dalam masa yang sama, seluruh rakyat Malaysia perlu menyedari bahawa walaupun berbeza kaum, agama dan budaya, kita berkongsi masa depan yang sama.
“Apabila politik menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk saling mencurigai dan membenci, akhirnya semua pihak akan menerima kesannya.
Tiada kaum yang benar-benar menang apabila masyarakat berpecah. Yang mendapat manfaat hanyalah mereka yang berjaya mengekalkan kuasa melalui politik perpecahan,” katanya.
Pilihan raya sepatutnya menjadi medan untuk rakyat menilai idea, dasar dan kemampuan kepimpinan. Ia bukan pertandingan untuk melihat siapa yang paling berjaya menimbulkan ketakutan.
Demokrasi yang matang memerlukan rakyat yang berani bertanya, berani menilai dan berani membuat keputusan berdasarkan fakta.
“Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi sebuah negara yang lebih makmur, adil dan bersatu.
“Namun, potensi itu hanya dapat direalisasikan jika politik kita berubah daripada politik yang menakutkan rakyat kepada politik yang memberi harapan.
” Politik yang membina keyakinan, memperkukuh perpaduan, menjunjung integriti dan menawarkan penyelesaian sebenar adalah asas kepada masa depan negara yang lebih baik,” katanya.
Tambahnya, kini sudah tiba masanya kita meninggalkan politik ketakutan dan memilih politik masa depan. Negara terlalu berharga untuk terus dipimpin oleh rasa takut.
“Masa depan Malaysia wajar dibina atas keyakinan, kepercayaan dan harapan bersama, bukannya atas kebimbangan yang sengaja dicipta demi kepentingan politik,” katanya.






