
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah sedang meneliti pembangunan teknologi Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) bagi memanfaatkan potensi besar sumber tenaga laut di negeri ini, selain meneruskan usaha memperkukuh bekalan elektrik di kawasan pedalaman.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam pembangunan OTEC kerana dianggarkan 70 hingga 75 peratus potensi teknologi itu di Malaysia berada di perairan negeri ini.
“Kerajaan melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya telah memulakan usaha ke arah itu. Pegawai kita juga telah mengadakan lawatan ke beberapa negara, khususnya Jepun yang telah memulakan penjanaan tenaga melalui OTEC.
“Insya-Allah, jika semua perancangan berjalan lancar, kita akan dapat melaksanakan projek OTEC di perairan Sabah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan mengenai perancangan kerajaan memanfaatkan potensi OTEC yang disifatkan mampu menjadikan Sabah sebagai pengeksport tenaga pada masa depan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri turut memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di kawasan pedalaman.
Katanya, selain projek peluasan rangkaian elektrik yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri juga memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan ke kampung-kampung dan kediaman rakyat di seluruh Sabah.
“Kita tahu keperluan tenaga elektrik bukan sahaja di kawasan pedalaman, tetapi juga untuk menyokong keperluan industri serta pembangunan negeri.
“Justeru, kerajaan akan terus memastikan bekalan elektrik dapat disampaikan kepada setiap kampung dan rumah rakyat di Sabah,” kongsinya.
Tambahnya, usaha itu adalah sebahagian daripada perancangan menyeluruh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kapasiti penjanaan dan memastikan bekalan elektrik yang stabil, mencukupi serta mampu memenuhi keperluan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.



