KUALA KLAWANG – Beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang tetap akan ditutup walaupun dipujuk oleh kepimpinan parti dalam merestui perkahwinan gabungan itu bersama Perikatan Nasional (PN).
Sumber UMNO Bahagian memaklumkan, tindakan itu adalah sebagai tanda protes terhadap keputusan tidak meletakkan calon BN di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Beliau menegaskan, pendirian itu diambil bagi memberi mesej kepada kepimpinan tertinggi parti supaya lebih mengambil kira pandangan akar umbi dalam membuat keputusan berkaitan agihan kerusi.
“Pelbagai usaha dilakukan bagi memujuk jentera supaya kembali mengaktifkan operasi PDM, namun kita tetap bertegas dengan pendirian untuk tidak berbuat demikian.
“Kami dipujuk macam mana sekali pun, kami tetap tidak akan membuka PDM bagi membantu calon Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Parti Wawasan di DUN Klawang. Itu satu perkara yang kami tidak boleh terima,” katanya.
Mengulas lanjut, keputusan BN tidak bertanding di DUN Klawang telah mencipta satu kekecewaan di kalangan akar umbi dan jentera gabungan itu yang selama ini telah membina kekuatan parti di kawasan berkenaan agar kerusi itu mampu dimiliki oleh UMNO.
Malah, beliau menegaskan, rasa kecewa itu bertambah apabila keputusan berkenaan didakwa tidak pernah dibincangkan di peringkat UMNO bahagian mahupun cawangan sebelum dimuktamadkan.
“Majoriti jentera hairan kenapa keputusan itu tidak dibincangkan, apa yang kami mahu bagitahu dengan pengundi, kempen dengan nama BN tapi kempen kena undi calon PN, dari parti baru diluluskan RoS pula itu.
“Ini satu strategi seperti orang terdesak untuk jatuhkan Pakatan Harapan (PH) sampai jalan yang diambil menjadi songsang. Justeru, kami tidak terima Wawasan sebagai rakan persefahaman dan tidak akan berkempen untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika ditemui mengakui perkara itu dan melahirkan rasa kecewa sebagai membantah kawasan itu diserahkan kepada calon PN kerana pihak berkenaan ‘tidak memahami’ persefahaman antara BN dengan gabungan itu.
Bagaimanapun, Jalaluddin yang juga merupakan calon BN DUN Pertang berpandangan menyakini prostes itu hanyalah sementara dan akan kembali beroperasi dalam tempoh terdekat.
“Itu satu peristiwa agak mengecewakan tetapi saya yakin, orang tua-tua kata dia gaduh mula-mula, lama-lama dia akan baik.
“Bila kita baru berkahwin ini, kadang-kadang kita tak faham satu sama lain. Bila kita tak faham satu sama lain ini, dia ambil masa sedikit nak memahami.
“Masa yang diambil itu tak lama, mungkin dalam tempoh satu dua hari ini eloklah mereka itu. Jadi, rungutan kekecewaan orang Klawang kerana UMNO tak bertanding di situ akan difahami,” katanya.







