Manifesto PH demi masa depan terbaik anak-anak Negeri Sembilan

SEREMBAN – Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri persinggahan, sebaliknya muncul sebagai pusat pertumbuhan baharu bagi Malaysia yang menawarkan pekerjaan, kediaman dan masa depan lebih baik kepada rakyat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, impiannya bukan sekadar melihat lebih banyak kilang dibina, pelaburan dibawa masuk atau bangunan tinggi didirikan namun mahu generasi baharu membesar masa depan berkualiti dapat dibentuk di tempat lahirnya.

Menurutnya, PH kembali di medan pilihan raya bukan dengan janji kosong atau retorik yang hanya indah didengar, tetapi membawa rekod pentadbiran, hasil yang telah dicapai dan pengalaman sepanjang lapan tahun memimpin negeri.

“Saya tidak mahu anak-anak Negeri Sembilan membesar dengan impian untuk meninggalkan negeri ini. Saya mahu mereka membesar dengan keyakinan bahawa masa depan terbaik mereka berada di bumi yang mereka cintai ini.

“Hari ini kami datang semula kepada rakyat. Bukan dengan janji kosong. Bukan dengan retorik yang indah didengar tetapi sukar dilaksanakan. Kami datang dengan rekod, dengan hasil, dengan pengalaman dan yang lebih penting, dengan satu visi lebih besar untuk membawa Negeri Sembilan melangkah ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena pelancaran Manifesto Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, selepas lapan tahun membina asas pentadbiran yang kukuh, Negeri Sembilan kini bersedia untuk melakukan lonjakan lebih besar menerusi visi Central Corridor Pembangunan Harapan Malaysia.

Katanya, visi itu meletakkan Negeri Sembilan sebagai penghubung strategik antara Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka dalam satu ekosistem pertumbuhan yang merangkumi teknologi, logistik, pelaburan, inovasi, pelancongan serta modal insan.

“Projek seperti Malaysia Vision Valley 2.0, NS Semiconductor Valley, Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City, Seremban Sentral, Hospital Enstek dan jaringan logistik baharu digerakkan dengan satu tujuan utama, iaitu mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi serta meningkatkan pendapatan rakyat.

“Inisiatif berkenaan juga bertujuan menarik pulang bakat terbaik Negeri Sembilan yang sebelum ini terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya.

Dalam mengejar pembangunan, Aminuddin menegaskan Negeri Sembilan tidak boleh kehilangan identiti, budaya dan jiwanya.

“Kita mahu Negeri Sembilan dikenali bukan hanya kerana kemajuan industrinya, tetapi juga kerana keseimbangan pembangunan antara bandar dengan desa, ekonomi dengan alam sekitar serta kemajuan fizikal dengan kesejahteraan manusia.

“Kalau Jepun mempunyai Hokkaido, saya mahu Malaysia mempunyai Negeri Sembilan. Bukan kerana kita mahu meniru Hokkaido, tetapi kerana kita mahu membuktikan bahawa sebuah negeri boleh maju tanpa kehilangan jiwanya,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengakui perjalanan lima tahun akan datang bukan mudah berikutan perubahan ekonomi dunia, persaingan pelaburan dan cabaran global yang semakin sengit.

Bagaimanapun, beliau berjanji untuk terus mempertahankan kestabilan, mengurus kewangan negeri secara berhemah serta membuka lebih banyak peluang kepada anak muda sekiranya diberikan amanah.

“Kita berikrar memperkukuh institusi Islam, memelihara Adat Perpatih dan mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi kekuatan Negeri Sembilan.

“Lapan tahun lalu, rakyat memberikan kepercayaan kepada kami. Kepercayaan itu bukan kami anggap sebagai kemenangan, tetapi sebagai amanah.

“Masih banyak cabaran yang perlu kita hadapi dan masih banyak impian rakyat yang perlu kita realisasikan. Namun, asas yang kukuh telah kita bina. Kini tiba masanya untuk kita melangkah lebih jauh,” katanya.

Aminuddin berkata, tempoh lima tahun akan datang perlu menjadi detik Negeri Sembilan beralih daripada sebuah negeri yang sekadar berkembang kepada negeri yang memimpin pertumbuhan negara.

“Marilah kita bina Negeri Sembilan yang lebih makmur, lebih berdaya saing, lebih inklusif, lebih lestari dan lebih membanggakan.

“Bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk anak-anak dan cucu-cucu yang akan mewarisi negeri ini. Lapan tahun membina, lima tahun melonjak. Negeri Sembilan Maju 2045,” katanya.

Related Posts

PH masih raih undi popular, namun tewas akibat sistem FPTP – Dr Hafidzah

KOTA BHARU – Pakatan Harapan (PH) masih mendapat sokongan besar rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 apabila merekodkan 40.2 peratus undi popular, namun gagal mempertahankan pentadbiran negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
30 calon PRN Negeri Sembilan hilang wang deposit

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 calon hilang wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Bersatu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Biar DAP habiskan persidangan dahulu’ – Anwar

‘Biar DAP habiskan persidangan dahulu’ – Anwar

Tahap integriti penjawat awam makin baik

Tahap integriti penjawat awam makin baik

Jentera Pilihan Raya PKR akan dikelolai Amirudin Shari

Jentera Pilihan Raya PKR akan dikelolai Amirudin Shari

Tian Chua sedia kembali ke PKR

Tian Chua sedia kembali ke PKR

Gempa bumi Sumatera: Pulau Pinang terkawal, tiada cedera

Gempa bumi Sumatera: Pulau Pinang terkawal, tiada cedera

Demi kestabilan politik, PKR tidak akan ‘ceraikan’ UMNO

Demi kestabilan politik, PKR tidak akan ‘ceraikan’ UMNO