SEREMBAN – Semua penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sembilan diingatkan untuk tidak melakukan sebarang bentuk provokasi sepanjang proses penamaan calon bagi memastikan kelancaran urusan berkenaan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, calon juga diseru hadir lebih awal ke pusat penamaan calon bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.
“Kerjasama semua calon amat penting bagi melancarkan proses penamaan calon selain memastikan perjalanan urusan berjalan teratur.
“Pada masa sama, semua parti yang bertanding juga diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan serta mengelakkan kesalahan lazim yang sering berlaku sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada media selepas meninjau persiapan di Pusat Penamaan Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat dan Ampangan di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Forest Heights, pada Jumaat.
Mengulas mengenai penyusunan pusat penamaan calon, Ramlan berkata, SPR menggunakan pendekatan mengikut kawasan Parlimen bagi PRN Negeri Sembilan, berbeza dengan PRN Johor yang menggunakan pusat penamaan calon mengikut kawasan DUN.
“Di Johor, kita ada 56 pusat penamaan calon kerana dibuat mengikut DUN. Bagi Negeri Sembilan, kita buka mengikut Parlimen, jadi terdapat lapan pusat penamaan calon.
“Ia bergantung kepada keadaan dan keperluan lokaliti. Ada negeri yang sesuai dibuat mengikut Parlimen dan ada negeri yang lebih sesuai dibuat mengikut DUN.
“Sebagai contoh, di Sabah kita gunakan kaedah mengikut DUN, di Johor juga mengikut DUN manakala di Negeri Sembilan mengikut Parlimen berdasarkan kesesuaian,” katanya.




