Lebih 3,000 sertai Kebun Dapur, Sabah bangunkan platform digital pemasaran hasil agro

RANAU – Lebih 3,000 individu dan kumpulan di seluruh Sabah kini menyertai inisiatif Kebun Dapur yang diperkenalkan kerajaan negeri, sekali gus meletakkan sasaran melahirkan 5,000 pengusaha dalam tempoh lima tahun di landasan tepat untuk dicapai lebih awal.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata sambutan menggalakkan itu direkodkan menerusi Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.

“Kita menjangkakan 1,000 pengusaha baharu setiap tahun, namun perkembangan semasa menunjukkan minat rakyat terhadap program berkenaan jauh lebih memberangsang.

“Saya amat berterima kasih atas sokongan terhadap usaha kementerian, ” ujarnya kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Padang Ragut, Pelancaran Kebun Dapur dan Kempen Vaksinasi Haiwan Kesayangan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ranau, pada Selasa.

Menurut Jamawi, bagi memperkukuh pemasaran hasil pertanian, perikanan dan penternakan, kementeriannya kini membangunkan platform digital dikenali sebagai kebundapur.com yang dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan.

“Platform ini tidak memerlukan lesen khas, namun semua produk akan dipantau oleh agensi berkaitan bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan terjamin sebelum dipasarkan kepada pengguna.

“Platform berkenaan akan membolehkan pengusaha memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

“Kita mahu memudahkan urusan pemasaran, tetapi pada masa sama memastikan hasil yang dijual memenuhi standard yang ditetapkan melalui pemantauan pegawai-pegawai di lapangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut mempergiat usaha memperkukuh sektor penternakan menerusi pemulihan padang ragut yang kurang dimanfaatkan sebelum ini.

“Sejak enam bulan lalu saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar memperhebat pelaksanaan program berkaitan bagi memperkasakan penternakan ruminan dan unggas di Sabah,” kongsinya.

Pada majlis berkenaan, Jamawi turut menyampaikan bantuan kepada dua padang ragut di Ranau membabitkan penyediaan tiang pagar, dawai pagar, makanan ternakan serta mesin pemproses rumput bagi menghasilkan makanan ternakan yang lebih berkualiti.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani dan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Zul Bahar Abdul Rashid.

Related Posts

Abu Bakar digugurkan, Izizam terajui Bersatu Perlis

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah digugurkan daripada jawatan Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis berkuat kuasa 3 September lalu. Jawatan tertinggi Bersatu negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Gangguan bekalan simen di Sabah dijangka pulih pertengahan September

KOTA KINABALU – Bekalan simen di Sabah yang mengalami gangguan ketika ini dijangka pulih sepenuhnya menjelang pertengahan September susulan kilang Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) di Teluk Sepangar kembali…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pasaran modal Malaysia kekal tawarkan peluang pelaburan menarik

Pasaran modal Malaysia kekal tawarkan peluang pelaburan menarik

Tuntutan RHB Capital terhadap Rashid ditolak sepenuhnya, rayuan turut ditarik balik – Peguam

Tuntutan RHB Capital terhadap Rashid ditolak sepenuhnya, rayuan turut ditarik balik – Peguam

Meta disaran perluas sekatan pengguna bawah 18 tahun di seluruh dunia

Meta disaran perluas sekatan pengguna bawah 18 tahun di seluruh dunia

Abu Bakar digugurkan, Izizam terajui Bersatu Perlis

Abu Bakar digugurkan, Izizam terajui Bersatu Perlis

‘Masuk Pas, masuk syurga’ bukan jaminan, jangan takbur dengan perjuangan politik – Tajuddin

‘Masuk Pas, masuk syurga’ bukan jaminan, jangan takbur dengan perjuangan politik – Tajuddin

Gangguan bekalan simen di Sabah dijangka pulih pertengahan September

  • By Ezmie
  • September 5, 2026
Gangguan bekalan simen di Sabah dijangka pulih pertengahan September