
KUCHING – Tourism Malaysia dengan kerjasama stesen radio Cats FM sukses menganjurkan program Miss SHOPhia Shopping Hunt 2026 bagi mempromosikan pelancongan domestik dan merancakkan sektor peruncitan di Sarawak.
Program interaktif yang menghimpunkan 13 kumpulan peserta itu berlangsung di pelbagai lokasi tarikan pelancong dan pusat beli-belah di sekitar Kuching pada Sabtu.

Pengurus Besar Kristal Harta Sdn Bhd (Cats FM), Mohammad Iskandar Nawawi berkata, penganjuran edisi tahun ini merupakan kolaborasi strategik kali ketiga berturut-turut bersama pihak Tourism Malaysia.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan Malaysia sebagai syurga beli-belah, malah sejajar dengan aspirasi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dalam memacu ekonomi negara.
“Cats FM amat berbangga dapat bekerjasama dalam kempen ini dan komited memainkan peranan untuk mempromosikan jenama tempatan, budaya, makanan serta layanan mesra Sarawak yang tiada tandingannya.
“Semangat yang ditunjukkan oleh para peserta pada tahun ini juga amat kompetitif dan menjadikan acara pencarian ini jauh lebih sengit serta menarik berbanding sebelumnya,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Zuraini Abdul Ghani menyifatkan kerjasama antara sektor awam dengan sektor swasta itu memberi impak tinggi kepada kempen Jualan Nasional seperti Malaysia Mega Sale yang berlangsung sehingga 31 Julai 2026.
Beliau berkata, program berkenaan turut membantu memperkukuh kedudukan Kuching yang diiktiraf sebagai Bandaraya Kreatif UNESCO dalam Gastronomi serta Sarawak Delta UNESCO Global Geopark.
“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja merancakkan sektor runcit, malah mempromosikan produk warisan kraf tangan seperti batik dan pua kumbu serta makanan tempatan seperti laksa Sarawak.
“Ia turut mendedahkan peserta kepada lokasi tarikan ikonik seperti Pangkalan Sapi, Pusat Beli Belah Plaza Merdeka, India Street dan Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum,” jelasnya.
Tambahnya, momentum program sedemikian amat penting bagi meneruskan lonjakan positif sektor pelancongan domestik yang telah berjaya merekodkan kehadiran 290.1 juta pelawat dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM121 bilion pada tahun 2025.

Sebanyak 13 kumpulan peserta bersaing mengharungi 10 stesen pemeriksaan di sekitar bandar raya ini demi merebut hadiah keseluruhan bernilai lebih RM7,000.
Dalam acara tersebut, kumpulan Bintangor yang dianggotai oleh Elya Nabila, Muzammil Syukri dan Ismail Roslan dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Tempat kedua disandang oleh kumpulan Batang Lupar (Shilla J, Chopie Chakap, Nea Arrysa), manakala kumpulan Engkelili (Mia Manja, Shafinah Zainal, Roystein Emmor) menduduki tempat ketiga.






