Sibu Economic Zone bakal ditubuhkan, RM1.5 bilion dana permulaan

SIBU – Sebuah badan khas dikenali sebagai Sibu Economic Zone bakal ditubuhkan dengan dana permulaan sebanyak RM1.5 bilion bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi Sibu dan zon tengah Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan persetujuan kerajaan negeri untuk menubuhkan badan itu selepas menerima cadangan yang dikemukakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.

Terdahulu, Annuar berkata Sibu memerlukan sebuah badan yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan ekonomi bagi merancang serta melaksanakan agenda pelaburan, perniagaan dan penciptaan peluang pekerjaan secara lebih tersusun.

“Sibu memerlukan lebih banyak aktiviti ekonomi bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti. Kita tidak mahu terus kehilangan bakat apabila ramai anak Sibu berhijrah untuk bekerja di luar Sarawak dan luar negara.

“Atas sebab itu, saya mencadangkan agar sebuah badan khas diwujudkan bagi merancang dan melaksanakan agenda ekonomi yang mampu menjadikan Sibu sebagai hab pertumbuhan baharu di zon tengah Sarawak,” katanya ketika berucap pada Program Sarawak Ku Sayang (SKS) Sibu 2026, di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, kedudukan strategik Sibu membolehkan bandar itu dibangunkan sebagai hab industri makanan dan logistik yang mampu membekalkan keperluan ke seluruh Sarawak, sekali gus merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menarik pelaburan baharu.

Jelasnya, badan berkenaan bukan sekadar merancang pembangunan ekonomi, malah akan melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan PKS dan industri berskala besar bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Jika kita mempunyai industri makanan yang besar, Sibu boleh menjadi hab bekalan makanan di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Annuar turut membangkitkan isu penghijrahan tenaga mahir yang semakin ketara apabila ramai anak kelahiran Sibu memilih membina kerjaya di luar negeri, sekali gus menyebabkan bandar itu berdepan risiko peningkatan populasi warga emas sekiranya peluang pekerjaan berkualiti tidak diperluaskan.

Dalam pada itu, beliau memuji kepimpinan Abang Johari yang disifatkan berjaya memperkenalkan pelbagai dasar transformatif, khususnya dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, inisiatif seperti pendidikan tinggi percuma dan penubuhan sekolah antarabangsa kerajaan negeri membuktikan komitmen Sarawak dalam melahirkan modal insan berdaya saing.

Tambah beliau, pelbagai projek infrastruktur seperti pembinaan jalan baharu, jalan alternatif, pembangunan semula Kampung Datu dan projek perumahan Kemuyang turut membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan serta kesejahteraan rakyat di Sibu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta kenamaan lain.

Foto: UKAS

Related Posts

Kolaborasi Tourism Malaysia dan Cats FM rancakkan pelancongan Sarawak

KUCHING – Tourism Malaysia dengan kerjasama stesen radio Cats FM sukses menganjurkan program Miss SHOPhia Shopping Hunt 2026 bagi mempromosikan pelancongan domestik dan merancakkan sektor peruncitan di Sarawak.   Program interaktif…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ng Suee Lim nasihat penduduk waspada susulan puting beliung di Tanjong Karang

KUALA SELANGOR: Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim menggesa penduduk supaya sentiasa berwaspada susulan kejadian puting beliung yang dilaporkan berlaku berhampiran kawasan sempadan Tanjong Karang. Beliau meminta…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kolaborasi Tourism Malaysia dan Cats FM rancakkan pelancongan Sarawak

Kolaborasi Tourism Malaysia dan Cats FM rancakkan pelancongan Sarawak

Sibu Economic Zone bakal ditubuhkan, RM1.5 bilion dana permulaan

Sibu Economic Zone bakal ditubuhkan, RM1.5 bilion dana permulaan

Ng Suee Lim nasihat penduduk waspada susulan puting beliung di Tanjong Karang

Ng Suee Lim nasihat penduduk waspada susulan puting beliung di Tanjong Karang

Bukit Lima Nature Reserve catat rekod Malaysia, taman hutan paya gambut bandar terbesar

Bukit Lima Nature Reserve catat rekod Malaysia, taman hutan paya gambut bandar terbesar

Lelaki cedera terjatuh 30 meter ketika mandi di air terjun

Lelaki cedera terjatuh 30 meter ketika mandi di air terjun

Geng Karim tumpas, sindiket seludup migran raih RM3.2 juta digempur JIM

Geng Karim tumpas, sindiket seludup migran raih RM3.2 juta digempur  JIM