
KANOWIT – Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kanowit baharu bernilai RM185.2 juta dijangka memperkukuh sistem bekalan air terawat bagi memenuhi keperluan penduduk di wilayah tengah Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, projek berkapasiti 25 juta liter sehari (MLD) itu dilaksanakan bagi menggantikan loji sedia ada.
Menurutnya, langkah itu penting bagi menampung peningkatan permintaan mendadak susulan kepesatan pembangunan di daerah tersebut.
“Projek ini bukan sahaja akan memenuhi keperluan bekalan air di Kanowit, malah akan menjadi sebahagian daripada sistem grid air Wilayah Tengah yang membolehkan air terawat diagihkan dengan lebih efisien ke seluruh Bahagian Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan LRA Kanowit pada Jumaat.

Projek infrastruktur yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan dijadualkan siap pada Ogos 2028 selepas kerja pembinaan bermula Disember tahun lalu.
Julaihi menjelaskan, pembinaan loji tersebut merupakan komponen utama dalam perancangan jangka panjang kerajaan negeri untuk membangunkan sistem grid air bersepadu.
Selain itu, beliau memaklumkan projek menaik taraf LRA Salim yang bertujuan meningkatkan kapasiti daripada 150 MLD kepada 300 MLD turut berjalan mengikut jadual bagi menyokong keseluruhan sistem di Sibu.
“Apabila sistem grid ini siap sepenuhnya, LRA Kanowit bukan sahaja membekalkan air kepada penduduk setempat, malah turut menyokong keseluruhan sistem bekalan air di Bahagian Sibu menerusi rangkaian paip grid yang sedang dirancang,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau memberi peringatan tegas kepada pihak kontraktor agar memastikan projek siap mengikut tempoh kontrak 30 bulan yang ditetapkan.
Kementeriannya akan terus memantau kemajuan kerja secara berkala memandangkan akses bekalan air bersih merupakan keperluan asas dan keutamaan rakyat luar bandar.
Foto: JBALB Sarawak





