
KUALA LUMPUR – Isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R), selain tindakan penguatkuasaan terhadap media serta kerangka perundangan negara, dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau optimis isu-isu berkenaan dapat ditangani, sambil menegaskan kedudukan Malaysia masih berada pada tahap yang relatif baik berbanding kebanyakan negara di rantau ASEAN.
Anwar berkata, beliau telah mengarahkan jawatankuasa berkaitan, termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, meneliti secara menyeluruh faktor yang menyebabkan kedudukan Malaysia merosot dalam indeks berkenaan.
“Penelitian itu mendapati penilaian yang dibuat oleh Reporters Without Borders (RSF) mengambil kira beberapa indikator utama.
“Termasuk konteks politik, kerangka perundangan, keadaan ekonomi, persekitaran sosiobudaya dan aspek keselamatan,” katanya.
Menurut Anwar, apabila tindakan diambil terhadap media seperti Sin Chew Daily, ia dilihat sebagai pelanggaran kepada kebebasan media dalam penilaian antarabangsa.
“Namun bagi kita, isu membabitkan bendera negara adalah perkara yang serius walaupun mungkin tidak dianggap sedemikian oleh negara lain,” katanya.
Katanya lagi, begitu juga kes melibatkan Sinar Harian yang menyiarkan biografi Ketua Polis Negara dikaitkan dengan parti politik.
“Walaupun tindakan yang dikenakan hanyalah kompaun kecil, ia tetap memberi kesan kepada penilaian sehingga kedudukan kita menurun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fadhli meminta penjelasan mengenai faktor kemerosotan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 serta langkah komprehensif kerajaan bagi memastikan kebebasan media terus dipelihara.
Anwar berkata kerajaan komited mengekalkan kebebasan media, namun pada masa sama perlu memastikan undang-undang berkaitan keselamatan negara, keharmonian masyarakat serta kepentingan awam terus dihormati.




