
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu institusi pembiayaan dan bank mempercepatkan proses kelulusan pinjaman kepada usahawan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Perdana Menteri berkata, tempoh kelulusan pinjaman perlu dipendekkan berbanding tempoh sedia ada bagi memudahkan golongan berkenaan mendapatkan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan.
“Hal ini sangat jelas, tiada makna kalau kita berikan peruntukan yang besar tapi sukar mendapatkan pinjaman.
“Umpamanya pinjaman TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional), penyalurannya boleh dipendekkan sehingga lima hari, Bank Rakyat daripada 14 hari kepada enam hari bekerja bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“SME Corp juga diturunkan. SME Bank bagi pembiayaan RM100,000 dan RM1 juta, mesti diluluskan dalam 15 hari bekerja,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan mengetahui terdapat bank yang menetapkan syarat terlalu tinggi kepada bakal peminjam selain memilih bidang perniagaan dan negara pelaburan.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan akan meneliti cadangan memperluaskan kemudahan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada golongan anak muda yang memerlukan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) supaya diwujudkan skim pinjaman AIM khusus untuk golongan muda yang kini banyak tertumpu kepada wanita.
Anwar berkata, AIM tidak dikhaskan hanya untuk wanita sebaliknya turut terbuka kepada peminjam lelaki.
“Bagaimanapun, saya setuju kita tingkatkan pinjaman kepada golongan lelaki yang memerlukan dan keduanya kepada anak muda.
“Dalam beberapa pertemuan di Terengganu, Kedah dan Johor, saya tidak nampak anak muda menggunakan kemudahan pinjaman AIM.
“Saya akan minta AIM berikan sedikit tumpuan dalam kalangan anak muda. Kadar pinjaman mungkin lebih kecil atau sederhana, tapi cara pengurusan lebih terjamin dari segi pembayaran semula dan pengurusannya lebih cekap,” katanya.




