KUKUP – Jentera kempen Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup mengesan beberapa bahan kempen parti itu dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di sekitar Serkat pada pagi Ahad.
Wakil jentera kempen PH DUN Kukup, Hing Wee Keat berkata, antara kerosakan yang dikesan termasuk bendera parti yang dicabut dan dibuang, papan iklan (billboard) yang dikoyakkan serta diconteng dengan perkataan tidak sopan.
Menurut beliau, tindakan vandalisme seperti itu amat dikesali kerana tidak mencerminkan semangat demokrasi dan budaya politik yang matang sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Kami menghormati perbezaan pendapat dan persaingan politik, namun ia tidak sepatutnya diterjemahkan dengan merosakkan bahan kempen mana-mana pihak.
“Kami berharap semua pihak dapat berkempen secara sihat, berhemah dan menghormati proses demokrasi demi memastikan pilihan raya berlangsung dalam suasana aman serta harmoni,” katanya.
Wee Keat berkata, jentera PH DUN Kukup akan terus meneruskan gerak kerja kempen seperti yang dirancang dan tidak akan menjadikan insiden berkenaan sebagai halangan untuk bertemu pengundi.
Beliau turut menyeru semua penyokong dan masyarakat agar bersama-sama menolak sebarang bentuk provokasi serta vandalisme yang boleh menjejaskan keharmonian sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, sebarang salah laku berkaitan bahan kempen sewajarnya ditangani mengikut saluran yang betul dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.





