
JOHOR BAHRU – Corak sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 disifatkan semakin meyakinkan apabila gabungan itu memasuki separuh pertama tempoh berkempen.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan pemantauan dan penjejakan sokongan di kerusi-kerusi keutamaan yang ditandingi PH di seluruh Johor.
Menurut beliau, PH memberi tumpuan kepada 56 kerusi yang ditandingi oleh parti-parti komponennya iaitu 20 kerusi oleh PKR, 19 kerusi oleh Parti Amanah Negara (Amanah) dan 17 kerusi oleh DAP.
“Separuh masa pertama kempen menunjukkan trend sokongan yang sangat meyakinkan di kawasan-kawasan keutamaan yang kita pantau.
“Sudah tentu setiap parti membuat penilaian masing-masing, namun berdasarkan data dan maklum balas yang kita terima, momentum sokongan kepada PH terus meningkat,” katanya pada sidang media di Puteri Wangsa, pada hari ini.
Beliau berkata, peningkatan itu bukan sahaja dipacu oleh strategi kempen yang dilaksanakan PH, malah turut dipengaruhi oleh perkembangan politik yang berlaku dalam kalangan pihak lawan.
Menurut Saifuddin, antara faktor yang memberi kesan kepada persepsi pengundi ialah keputusan PAS yang hanya bertanding di 11 kerusi dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).
Katanya, perkembangan tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengundi Johor dan secara tidak langsung mempengaruhi corak sokongan semasa.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan PH tampil dengan pendekatan yang lebih jelas dan telus melalui pembahagian kerusi yang tidak mengelirukan, selain menawarkan satu pilihan kerajaan negeri yang diyakini mampu mentadbir Johor.
Tambah beliau, manifesto PH yang ringkas, realistik dan mempunyai garis masa pelaksanaan yang jelas turut menerima maklum balas positif daripada rakyat sepanjang tempoh berkempen.
“Rakyat dapat melihat bahawa tawaran yang dikemukakan bukan sekadar janji politik, sebaliknya mempunyai asas pelaksanaan yang munasabah serta memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
Mengulas baki tempoh kempen yang masih berbaki tujuh hari, Saifuddin menegaskan PH tidak akan berasa selesa dengan perkembangan semasa, sebaliknya akan terus memperkukuhkan gerak kerja di semua kawasan bagi memastikan momentum sokongan dapat dikekalkan sehingga hari pengundian.
Beliau turut memaklumkan bahawa kempen PH menerima suntikan semangat menerusi kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada beberapa siri program kempen di Johor.
Selain itu, penyertaan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di pentas kempen PH juga disifatkan sebagai satu nilai tambah dalam usaha menyampaikan fakta kepada pengundi.
Menurut Saifuddin, kehadiran tokoh berkenaan bukan bertujuan membuat serangan politik, sebaliknya membantu menjelaskan fakta agar rakyat dapat membuat penilaian yang rasional sebelum menentukan pilihan pada hari pengundian nanti.




