
LIMBANG – Pendekatan turun padang menerusi Karnival Mini Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Hari Kerjaya 2026 memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, inisiatif di peringkat akar umbi itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap dasar memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kerajaan tidak lagi menunggu rakyat hadir ke pejabat, sebaliknya memilih pendekatan membawa perkhidmatan secara terus kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Tebingan Sungai Limbang pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, pemilihan Limbang sebagai lokasi penganjuran mengambil kira kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk utara Sarawak dan penghubung dengan negara jiran.
“Daerah tersebut berpotensi besar untuk berkembang sebagai hab perdagangan, pelancongan dan logistik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi wilayah.
“Kerajaan komited memastikan pembangunan negara tidak hanya tertumpu di bandar utama, malah turut dinikmati masyarakat luar bandar dan kawasan sempadan,” katanya.
Sementara itu, pelbagai perkhidmatan disediakan sepanjang program berlangsung termasuk temu duga terbuka, pemeriksaan kesihatan, pendaftaran MyJPJ dan Jualan Rahmah.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Hari Kerjaya yang dianjurkan itu bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan belia dan graduan.
Hasbi turut menyeru masyarakat supaya mengutamakan keselamatan jalan raya, mematuhi undang-undang serta menyertai program advokasi anjuran MOT dan agensi berkaitan.






