
PETALING JAYA – Dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara tidak menyebabkan peluang pelajar tempatan berkurangan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), menurut Majlis Profesor Negara (MPN).
Presiden MPN, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah berhubung kehadiran lebih 32,000 pelajar dari tanah besar China di universiti awam adalah tidak benar.
“Naratif seolah-olah pelajar antarabangsa mengambil peluang pelajar tempatan tidak tepat. Hakikatnya, kebanyakan mereka berada di peringkat pascasiswazah dan menjalankan penyelidikan.
“Pengambilan mereka tidak sama dengan pengambilan pelajar prasiswazah lepasan SPM atau STPM,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Dr Raduan, fakta yang perlu difahami ialah majoriti pelajar antarabangsa di universiti awam berada di peringkat pascasiswazah (Sarjana dan PhD).
“kebanyakannya melalui mod penyelidikan. Mereka bukan bersaing untuk tempat prasiswazah yang diperuntukkan kepada lepasan SPM, STPM, matrikulasi, asasi atau diploma. Bezakan fakta dengan persepsi,” katanya.
Raduan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA menyatakan pelajar antarabangsa turut membayar yuran penuh mengikut kadar pasaran antarabangsa.
“Ini sekali gus membantu universiti memperkukuhkan kedudukan kewangan, meningkatkan kemudahan pembelajaran dan penyelidikan serta mewujudkan mekanisme silang subsidi yang akhirnya turut memberi manfaat kepada pelajar tempatan,” katanya.
Tambahnya lagi, agenda tersebut bukan diwujudkan secara kebetulan, sebaliknya merupakan Teras Strategik Kelima dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dirangka bagi menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi serantau yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Perlu difahami bahawa sebahagian besar pelajar antarabangsa di universiti awam mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah, iaitu Sarjana dan PhD. Kebanyakannya berada dalam mod penyelidikan (research). Mereka bukan mengisi tempat prasiswazah yang dikhaskan untuk lepasan SPM, STPM, matrikulasi, asasi atau diploma.
“Jangan kelirukan kemasukan pelajar antarabangsa dengan pengambilan pelajar prasiswazah tempatan. Majoriti pelajar antarabangsa menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan PhD melalui mod penyelidikan. Laluan, syarat dan kategori kemasukan mereka adalah berbeza,” katanya lagi.
Menurut beliau, Malaysia juga masih berdepan cabaran untuk mencapai sasaran menarik 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030 sebagaimana digariskan dalam PSPTN.
Justeru, katanya, cabaran sebenar negara ketika ini bukan mengurangkan kemasukan pelajar antarabangsa, sebaliknya meningkatkan keyakinan masyarakat global terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia agar lebih ramai memilih negara ini sebagai destinasi pengajian.
Menurut beliau, pengambilan pelajar antarabangsa bagi program tersebut bergantung kepada kapasiti penyeliaan, keupayaan penyelidikan serta kecemerlangan akademik universiti, bukannya kuota.
Beliau berkata, kehadiran pelajar antarabangsa bukan sekadar meningkatkan kolaborasi penyelidikan, penerbitan ilmiah dan pemindahan teknologi, malah memperkayakan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi melalui interaksi rentas budaya, mobiliti akademik serta perkongsian kepakaran yang turut memberi manfaat kepada pelajar tempatan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan perbahasan mengenai pelajar antarabangsa sewajarnya berpaksikan fakta dan bukannya persepsi yang boleh mengelirukan masyarakat.
Katanya, apa yang perlu dipastikan ialah peluang pendidikan rakyat Malaysia terus dipelihara, standard akademik dipertingkatkan, sementara negara kekal berupaya menarik bakat terbaik dunia ke universiti-universiti tempatan demi memperkukuhkan daya saing Malaysia pada masa hadapan





