
SHAH ALAM – Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes liwat dan cabul membabitkan dua pelajar lelaki sebuah kolej di Glenmarie, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan selepas polis menerima laporan daripada kedua-dua mangsa.
“Suspek diberkas di sebuah restoran di Shah Alam pada kira-kira jam 12.01 tengah malam.
“Suspek telah ditangkap dan siasatan berhubung kes ini sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Sebelum ini, polis giat mengesan suspek susulan laporan yang dibuat oleh dua remaja lelaki berusia 15 tahun yang merupakan pelajar di sebuah kolej di Glenmarie.
Hasil siasatan awal mendapati seorang mangsa mendakwa dicabul ketika berada di tandas asrama kolej berkenaan, manakala seorang lagi mendakwa diliwat di rumah suspek di Seksyen 18, Shah Alam.
Semakan polis turut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak.
Kes kini dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti keseluruhan fakta kejadian serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.






