TAWAU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 3,875 aduan pengguna di kawasan Pantai Timur Sabah sejak Januari sehingga Jun tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,232 aduan melibatkan kandungan dalam talian dan menjadikannya kategori aduan kedua tertinggi selepas aduan berkaitan rangkaian Internet.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkembangan itu menunjukkan keperluan mendesak memperkukuh literasi digital serta meningkatkan kesedaran masyarakat daripada pelbagai ancaman dalam talian.
“Pada hari ini, Internet bukan lagi sekadar medium komunikasi, malah telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita.
“Anak-anak menggunakannya untuk pembelajaran, peniaga menjalankan urusan perniagaan secara dalam talian, manakala kita semua bergantung kepada teknologi untuk berhubung, mendapatkan maklumat dan mengurus pelbagai urusan harian.
“Namun, di sebalik segala manfaat tersebut, terdapat juga pelbagai risiko yang perlu kita hadapi bersama,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Batu Payung, di sini, pada Sabtu.

Jelas Nizam yang juga ADUN Apas, dalam memastikan ruang siber negara kekal selamat, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah termasuk penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa pada awal tahun ini.
Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pengguna khususnya kanak-kanak, remaja dan institusi keluarga daripada ancaman serta kandungan yang memudaratkan.
“Walaubagaimanapun, mewujudkan persekitaran digital yang selamat bukanlah tanggungjawab kerajaan atau agensi penguat kuasa semata-mata.
“Ibu bapa perlu membimbing penggunaan Internet oleh anak-anak, guru dan pendidik perlu terus memupuk amalan digital yang berhemah, manakala komuniti pula perlu saling mengingatkan antara satu sama lain,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan semua masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk ancaman dan jenayah siber.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu baik untuk dipercayai, jangan sesekali berkongsi maklumat peribadi sewenang-wenangnya dan laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menjadi mangsa atau mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan.
“Langkah kecil yang kita ambil hari ini mampu mengelakkan kerugian dan melindungi lebih ramai pada masa hadapan,” tegasnya.

Karnival itu dihadiri kira-kira 500 penduduk sekitar Batu Payung dengan penglibatan beberapa agensi lain yang memberi perkhidmatan secara terus kepada masyarakat antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, KWSP dan syarikat telekomunikasi CelcomDigi serta Maxis.






