
TANAH MERAH – Tawaran upah RM60 sehari dipercayai menjadi punca dua lelaki terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum secara haram sejak dua tahun lalu sebelum diberkas di Kampung Bechah Tok Kamal di sini semalam.
Dalam serbuan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 3 petang itu, sebanyak 190 liter air ketum, 30 kilogram daun ketum, pil yaba serta pelbagai peralatan memproses dirampas.
Komander Briged Tenggara, Ahmad Radzi Hussain berkata, nilai keseluruhan barangan dan peralatan yang dirampas dalam serbuan itu dianggarkan RM9,490.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia 23 dan 36 tahun itu bekerja sepenuh masa di bawah arahan seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang utama kegiatan berkenaan.
“Suspek memproses air ketum setiap hari bermula pukul 1 petang hingga 7 malam dengan kapasiti pengeluaran dianggarkan sebanyak 200 bungkus sehari,” katanya.
Menurut Ahmad Radzi, bagi setiap urusan, kedua-dua suspek akan berhubung dengan individu dikenali sebagai Sardi dan menerima bayaran RM60 sehari.
“Kess itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.






