
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan isu kelewatan pembekalan baja kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum penghujung bulan ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, pembekal memberi jaminan pembekalan Baja Sebatian Padi 1 akan disempurnakan selewat-lewatnya pada 15 Julai.
Manakala, katanya, keseluruhan isu berkaitan bekalan baja di kawasan MADA dijangka selesai menjelang 30 Julai.
“Sehingga 29 Jun lalu, sebanyak 840,295 beg Baja Sebatian Padi 1 atau 76 peratus daripada jumlah keperluan telah diterima.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 705,847 beg telah diagihkan kepada pesawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berhubung kelewatan pembekalan baja dan racun kepada pesawah pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Foong Hin, bagi Baja Sebatian Tambahan Padi 3 pula, sebanyak 37,560 beg atau enam peratus daripada keseluruhan keperluan sebanyak 616,015 beg telah diterima, manakala 30,799 beg sudah diagihkan.
Mengulas lanjut, Foong Hin berkata kelewatan pembekalan baja urea berpunca daripada kegagalan pembekal mengembalikan Surat Setuju Terima (SST) dalam tempoh ditetapkan, sekali gus menyebabkan pelantikan syarikat terbabit dibatalkan.
Katanya, keadaan itu memaksa kementerian melaksanakan proses tender baharu bagi memastikan bekalan dapat diteruskan.
“Akibat kelewatan itu, berlaku defisit bekalan yang dianggarkan mencecah 160,000 beg baja urea.
“Bagaimanapun, pembekalan baja urea dijadual bermula pada 15 Julai ini bagi memenuhi keperluan pesawah di kawasan MADA,” katanya.







