SEGAMAT – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Noraziah Mohd Razit menampilkan tiga tekad utama dalam membawa perubahan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sekiranya menang pada 11 Julai ini.
Anak jati Johor lebih dikenali sebagai Rozy berkata, tiga komitmen itu merangkumi usaha mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat, memperkasa ekonomi setempat serta membina masa depan yang lebih baik untuk anak muda, wanita dan institusi keluarga.
“Tekad saya yang pertama adalah mendengar, berkhidmat dan menyelesaikan. Saya akan sentiasa turun padang, mendengar setiap suara rakyat dan memastikan setiap masalah diberi perhatian serta diselesaikan dengan cepat dan adil.
“Bagi tekad kedua ialah memperkasa ekonomi rakyat menerusi bantuan kepada usahawan, peniaga dan petani selain membuka lebih banyak peluang latihan serta memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya pada sidang media di Taman Aur Buloh Kasap, pada Rabu.
Menurur Noraziah, tekad yang ketiga adalah membina generasi dan keluarga Buloh Kasap.
“Saya mahu membina masa depan Buloh Kasap yang lebih baik dengan memperkasa anak muda, wanita dan keluarga, di samping menjaga kebajikan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Rozy memaklumkan, tiga tekad itu akan menjadi panduannya untuk memastikan setiap lapisan masyarakat di Buloh Kasap mendapat perhatian sewajarnya, jika pengundi memberi mandat kepadanya.

Menurut beliau, pihaknya tidak hadir sekadar meraih sokongan hanya ketika pilihan raya, sebaliknya mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat sepanjang masa bagi mendengar dan menyelesaikan setiap isu yang dibangkitkan.
“Saya hadir bukan sekadar meminta undi tetapi membawa tiga tekad yang akan saya laksanakan untuk rakyat Buloh Kasap. Pada hari mengundi nanti, saya memohon sokongan dan kepercayaan kepada rakyat Buloh Kasap.
“Berilah peluang kepada Harapan untuk bekerja, berkhidmat dan membawa perubahan yang dapat dirasai oleh semua. Buloh Kasap tidak perlukan janji indah. Buloh Kasap perlukan wakil rakyat yang hadir, bekerja dan menyelesaikan masalah. Insya-Allah itulah komitmen saya,” katanya.
Mengulas fokus kempen, Rozy berkata, perhatian akan diberikan kepada semua lapisan masyarakat dengan penekanan khusus terhadap golongan anak muda, wanita dan warga emas.
Beliau turut menyifatkan sambutan yang diterima daripada pengundi sepanjang tiga hari berkempen sebagai amat positif.
“Saya mahukan semua dapat disentuhi dan merasai keberadaan saya di sini. Pertama, saya perlu mendengar dan melihat sendiri masalah serta keperluan yang ada di Buloh Kasap sebelum mengambil tindakan.
“Alhamdulillah, penerimaan rakyat di Buloh Kasap sangat positif. Saya melihat rakyat di sini mahukan seorang wakil rakyat yang mudah didekati, rajin turun padang dan benar-benar mendengar suara mereka.
“Sambutan yang saya terima memberi semangat untuk saya terus berkhidmat sebaik mungkin di Buloh Kasap ini. Sepanjang tempoh berkempen beliau memberi tumpuan kepada aktiviti turun padang bagi mendekati penduduk dan memahami keperluan mereka secara lebih dekat,” katanya.
Berdasarkan maklumat Rozy dijadualkan menghadiri sehingga 10 program sehari di seluruh kawasan DUN Buloh Kasap dan setakat ini telah menemui kira-kira 30 peratus pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum, termasuk golongan muda dan wanita.






